Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memotong rantai berkunci dipercayai premis judi haram pada Operasi Bersepadu MBSA di sekitar Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 12 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membeli 45 unit kamera badan bagi mengatasi isu provokasi dan fitnah dalam kalangan anggota penguat kuasa ketika bertugas.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, selain untuk rakaman, alat tersebut boleh menghubungkan video secara langsung dengan pusat kawalan ketika melaksanakan operasi yang akan dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Setiap kamera badan berharga RM1,000 dan kita sedang mempertimbang untuk menambah bilangannya dan setakat ini seorang daripada pasukan penguat kuasa akan memakainya ketika bertugas.

“Penggunaan alat ini memberi keadilan kepada kedua-dua pihak jika penguat kuasa difitnah ketika bertugas atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa,” katanya.

Pada 6 Februari lalu, seorang wanita memukul penguat kuasa MBSA selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

Manakala, seminggu selepas itu tular video penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan. – MalaysiaGazette