Delegasi kerajaan negeri Pahang menghadiri Mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama Ke-5 Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) di Qinzhou, China hari ini

KUANTAN – Agenda memacu ekonomi Pahang diteruskan dengan kesepakatan fasa kerjasama dalam menghidupkan ‘Dua Negara, Taman Berkembar’.

Ia merupakan kerjasama antara Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) di Qinzhou, China hari ini

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan taman perindustrian berkembar tersebut telah berkembang dengan begitu baik sejak 2014 dengan pelaburan yang direalisasikan dalam MCKIP bernilai RM13.476 bilion.

Menurutnya, pelaburan tersebut digabungkan daripada beberapa pelaburan utama daripada pelabur negara Tembok Besar itu dalam MCKIP selain telah mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daripadanya merupakan pekerja tempatan.

”Lawatan rasmi saya dan delegasi ke China diteruskan dengan Mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama Ke-5  MCKIP-CMQIP di Qinzhou di mana ini merupakan kemuncak siri lawatan ke negara Tembok Besar ini sejak 20 April lalu.

”Setelah 10 tahun, untuk fasa kerjasama seterusnya di bawah ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ saya telah mengemukakan meningkatkan peranan MCKIP dan CMQIP sebagai pusat inovasi untuk sektor strategik.

”Ia bagi memanfaatkan industri sedia ada seperti besi dan keluli dan komponen kenderaan elektrik (EV) bagi mewujudkan program latihan TVET serta pusat R&D melalui kerjasama dengan universiti tempatan atau institut latihan di Pahang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebagai contoh, Wan Rosdy berkata, kerjasama dengan institusi seperti Kolej Yayasan Pahang dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) atau memanfaatkan program sedia ada di bawah akademi dalam industri.

Selain itu, kolaborasi tersebut bagi mempromosi Taman Logistik Antarabangsa Kuantan Malaysia-China (MCKLIP) sebagai hab bagi industri perkhidmatan 2.0 yang memberi tumpuan kepada industri logistik bersepadu, memanfaatkan Pelabuhan Kuantan, ECRL dan Lapangan Terbang Kuantan.

Tambah Wan Rosdy, bagi memperkukuh sinergi antara MCKIP dan CMQIP, tumpuan kepada kedudukan kompetitif Malaysia sebagai peneraju minyak sawit serta peranan Pelabuhan Kuantan untuk memudahkan lebih banyak perdagangan minyak sawit dibawa masuk ke China melalui Pelabuhan Qinzhou.

Jelasnya,  insentif pelaburan dan kemudahan infrastruktur sedang ditawarkan dan ditambah baik untuk menarik pelabur domestik dan asing ke Pahang.

”Kemudahan infrastruktur dan utiliti ini sememangnya berada di bawah perhatian Kerajaan Negeri dan kami komited untuk memberikan yang terbaik, dengan sokongan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

”Selama 10 tahun penubuhan kedua-dua taman perindustrian ini banyak kejayaan telah dicapai dan adalah diharapkan untuk 10 tahun yang akan datang lebih banyak kejayaan dan kemajuan akan dicapai di Pahang dan memberi fokus pada EV,” ujarnya.

Wan Rosdy sekali gus berterima kasih kepada kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah mencetuskan ilham penubuhan MCKIP – CMQIP.

Terdahulu Pahang perkukuh hubungan dengan negara China melalui lawatan kerja ke negara itu menerusi kunjungan delegasi kerajaan negeri ke beberapa lokasi berpotensi bagi meningkatkan hubungan dua hala dalam sektor ekonomi selama lima hari.

Lawatan bermula 20  hingga 25 April itu dihadiri Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, Datuk Mohammad Nizar Mohammad Najib dan  Exco Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang bersama Pegawai Pelaburan Pahang, Datuk Kamarul’Arifin Ahmad @ Abdul Rahman. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pahang perkukuh jaringan sektor ekonomi bersama China – MB

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here