Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) akan menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) pada 1 September 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut kenyataan MEA, KBN 2018 bakal menjadi platform asas kepada usaha kerajaan untuk membentuk Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang baharu.

“Kongres ini juga merupakan salah satu usaha serta engagement Kerajaan dengan pelbagai pihak berkepentingan Bumiputera bagi menyuarakan pandangan dan idea baru secara konstruktif di samping mengenalpasti fokus bidang pertumbuhan baharu untuk
diceburi oleh Bumiputera, di samping menjalinkan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi menyokong agenda pembangunan Bumiputera.

“Kongres ini bakal dianjurkan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM (YKPD) serta NGO-NGO lain; melibatkan 2,000 penyertaan pelbagai pihak berkepentingan Bumiputera di negara ini,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, bagi tujuan tersebut, MEA telah mengenalpasti dan akan mengeluarkan jemputan penyertaan kongres ini dalam kalangan pegawai kerajaan, pembuat polisi, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitankerajaan (GLiC), tokoh-tokoh korporat dan industri, usahawan Bumiputera, ahli-ahliakademik dan cendekiawan serta persatuan.

Dengan tema ‘Mendepani cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu’, kongres sehari ini akan memberi penekanan kepada enam bidang fokus utama iaitu nilai, moral dan etika; pendidikan dan modal insan, penciptaan dan pemilikan kekayaan, perniagaan dan keusahawanan, tindakan afirmatif dan pembentukan strategi / halatuju.

Kongres tersebut bakal dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan Ucaptama disusuli dengan sesi dialog berhubung Masa Depan Bumiputera dan
Negara. – MalaysiaGazette