Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi idea dan pendapat pada forum Persidangan Sosial Malaysia 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JULAI 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi idea dan pendapat pada forum Persidangan Sosial Malaysia 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Penggunaan media sosial dilihat sebagai penjana harapan baru yang membawa kepada kejayaan besar dalam pembentukan sesebuah negara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jumlah penonton untuk siaran langsung kempen dan ceramah Pakatan Harapan (PH) di Facebook yang pada mulanya hanya sekitar 5,000 orang melonjak kepada hampir lima juta sebelum PRU-14.

Menurut beliau, kaedah itu terbukti lebih efektif dan relevan berbanding kerajaan terdahulu yang membazirkan jutaan wang hanya untuk aspek publisiti termasuk di media arus perdana.

Zaman yang semakin global jelas beliau, turut menampilkan peranan golongan muda secara lebih agresif kerana mereka lebih idealistik dalam mengenengahkan arus pemikiran moden.

“Mereka bukan sekadar membantu menyebarkan maklumat tetapi menggunakan media sosial bagi menyampaikan kebenaran kepada rakyat, khususnya kepada generasi lebih berusia,” ucapnya pada Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2018 anjuran Dewan Media Sosial Malaysia hari ini.

Jelas Syed Saddiq yang kini sudah bergelar menteri paling muda di negara ini, dirinya sendiri banyak menggunakan media sosial membantunya melonjakkan nama dalam bidang politik.

“Kita sebenarnya tidak banyak berbelanja sebaliknya visi dan misi selain daripada kebenaran yang sepatutnya diketahui itu diketengahkan oleh kita. Rata-rata yang banyak menyokong agenda kita sebenarnya golongan muda.

“Golongan muda ini juga yang banyak membantu dengan menyampaikan mesej kepada yang lain terutamanya golongan tua, ini juga antara punca mengapa sokongan seperti tsunami beralih kepada kita.

“Malah sekiranya kita lihat secara global, pelbagai jenis perubahan sedang mengambil tempat kerana penggunaan media sosial yang efektif terutamanya generasi kini,” ujarnya.

Sidang Kemuncak Blogger dan Media Sosial yang bermula hari ini menampilkan personaliti dan penulis blog terkenal dari seluruh dunia seperti Sophie Bell, Freda Liu, Meera Muhunthan, Stephen Doss, Anton Diaz, Rob Lee, Praval Singh, Kiruba Shankar, Nick Tan, Wan Hou Yin dan banyak lagi.

Kebanyakan penceramah ini bukan sahaja dari Malaysia malah jemputan juga dari India, Singapura, Filipina, Australia, Arab Saudi, Vietnam, Amerika Syarikat (AS).

MalaysiaGazette merupakan Rakan Media Dalam Talian untuk MSMW. – MalaysiaGazette