Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh di Hotel Wyndham Acmar Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 NOVEMBER 2022.

KLANG – Media arus perdana tempatan diingatkan tidak tunduk kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat cuba menguasai medium komunikasi itu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media arus perdana perlu berperanan mewujudkan padang sama rata kepada semua parti, tidak terhad kepada parti pemerintah sahaja.

“Tahap penembusan berita, media arus perdana masih berat sebelah dan saya dapat lihat satu dua mereka ini mula mengulangi gaya UMNO yang menguasai media sejak satu atau dua dekad lalu dan ia agak memalukan.

“Saya perlu mengingatkan mereka, tolong lah biarlah mereka lakukan (tugas dengan profesional), media kena jaga kelakuan, saya pasti ada padang sama rata, kita cukup adil apabila mereka berat sebelah kepada BN dan PN.

“Tapi jangan benarkan media tunduk kepada mereka yang rasuah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengakui PH menghadapi kekangan untuk menembusi kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi apabila UMNO, Bersatu dan Pas menggunakan naratif sama iaitu isu berasaskan kaum dan agama.

“Naratif luar bandar kadang-kala boleh menjadi lebih kompleks kerana kecenderungan UMNO, Bersatu dan Pas hanya meletakkan isu kaum dan agama.

“Mereka sering mengatakan hanya tiga parti Melayu itu sahaja boleh memperjuangkan nasib orang Melayu diancam dengan monopoli orang Cina (ekonomi),” katanya. – MalaysiaGazette