Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meolak cadangan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang bertujuan menghapuskan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja.

Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 yang digubal selaras dengan prinsip Konvensyen 87 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak untuk Berorganisasi dijangka dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali kedua pada Julai ini.

Antara lain, Rang Undang-undang ini bertujuan untuk menghapuskan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan pertubuhan tertentu atau persamaan dalam perdagangan, pekerjaan atau industri untuk membolehkan kepelbagaian kesatuan sekerja.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malausia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah untuk menggalakkan kepelbagaian kesatuan sekerja dan kesatuan sekerja omnibus boleh membahayakan hubungan industri sedia ada yang harmoni.

Menurutnya, terdapat banyak kebimbangan dalam kalangan pihak berkepentingan, kesatuan sekerja dan majikan mengenai hasrat kerajaan untuk melaksanakan kebebasan berpersatuan di tempat kerja, terutamanya untuk membenarkan lebih daripada satu kesatuan sekerja di tempat kerja.

Katanya, cadangan untuk memadamkan pemadaman perenggan (a) Seksyen 2 dan subseksyen 2(2) untuk takrifan “kesatuan sekerja” atau “kesatuan” dalam akta sedia ada akan memberi kuasa kepada ketua pengarah kesatuan sekerja ‘untuk menolak pendaftaran kesatuan sekerja akan dihapuskan.

Sekiranya rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen, ketua pengarah tidak lagi boleh menolak untuk pendaftaran kesatuan sekerja jika sudah wujud kesatuan sekerja dan beliau berpuas hati sekiranya tidak ada kepentingan pekerja untuk mewujudkan kesatuan sekerja lain, tambah beliau.

”Jika terdapat terlalu banyak kesatuan sekerja di tempat kerja, pelabur antarabangsa mungkin tidak tertarik untuk melabur di Malaysia,” dakwa Syed Hussain dalam kenyataannya di sini.

Menjelas lanjut, katanya, negara ini memerlukan persekitaran tempat kerja majikan dan kesatuan sekerja pekerja yang seimbang.

”Walaupun MEF menyokong prinsip Konvensyen ILO 87, kita mesti praktikal dan juga berhati-hati bahawa pemadaman peruntukan sedemikian daripada Akta Kesatuan Sekerja tidak akan menjadi kepentingan keseluruhan negara.

“Sebaliknya, pindaan sedemikian, jika diluluskan, akan mengubah secara drastik watak kesatuan sekerja yang akan merombak sistem perhubungan industri yang harmoni sedia ada di Malaysia dan berpotensi menyebabkan ketidakharmonian industri pada skala nasional dengan akibat ekonomi yang teruk,” tambah beliau.

Syed Hussain mengingatkan bahawa kesatuan sekerja berisiko digunakan sebagai alat politik yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan mana-mana orang termasuk warga asing boleh membentuk dan menganjurkan aktiviti kesatuan di Malaysia untuk mengejar kepentingan peribadi, politik atau lain-lain yang mungkin tidak selaras dengan kepentingan negara.

Dakwanya lagi, di bawah undang-undang baharu yang dicadangkan, risiko tercetusnya mogok di seluruh negara adalah nyata dan boleh mengganggu ketenteraman awam.

Tegas beliau, ia adalah isu penting yang mesti dipertimbangkan sebelum membuat sebarang pindaan kepada Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Tambahan pula, pada waktu sama para majikan perlu berdepan dengan perubahan besar ini dalam tempoh pemulihan, yang sepatutnya menumpukan kepada pembinaan semula perniagaan.

“Keadaan ini akan menimbulkan kebimbangan dan cabaran besar buat majikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette