Gambar Hiasan

KUANTAN – Seorang mekanik yang membawa beratus-ratus mercun dan bunga api ditahan dalam sekatan jalan raya malam tadi di Kampung Permatang Arang, dekat Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, lelaki itu ditahan selepas dia gagal dalam cubaannya untuk berpatah balik daripada sekatan jalan.

Mercun dan bunga api itu diletakkan dalam kenderaan pikap di tempat duduk bahagian belakang kenderaan.

”Kenderaan pikap dipandu suspek telah berpatah balik dalam cubaan melarikan diri namun berjaya ditahan oleh polis di tepi jalan Kampung Beruas Pekan Pahang dalm Op Kun Dan Snap Check.

”Sebanyak 25 jenis mercun dan bahan letupan ditemui melibatkan rampasan bernilai RM8,000 dan wang tunai sebanyak RM400 turut dirampas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditangkap dan semua barang rampasan tersebut dibawa balik ke IPD Pekan Pahang untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan masih dijalankan dan kesalahan disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957. – MalaysiaGazette