Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia 2023 di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 23 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan keyakinannya bahawa Melayu akan hilang kuasa selama-lamanya apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan.

Katanya, ahli Parlimen DAP telah bercakap dengan lantang di Dewan Rakyat baru- baru ini tentang perlunya proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan, terutamanya untuk menambah kerusi-kerusi Parlimen di kawasan bandar.

Malah, menurut beliau, Timbalan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya telah dimulakan bagi negeri Sarawak pada tahun ini, Sabah pada tahun 2025 dan Semenanjung Malaysia pada tahun 2026.

Rentetan daripada itu, Muhyddin menjangkakan kerusi DAP akan bertambah sekali ganda jika proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, Daripada 40 kerusi yang dimiliki oleh DAP sekarang mungkin akan bertambah menjadi 80 kerusi tidak termasuk “gerrymandering” yang akan dibuat di kawasan-kawasan Parlimen sedia ada untuk memberi kelebihan kepadaparti DAP dan rakan-rakan sekutunya di dalam PH.

“Jika ini berlaku, DAP akan menjadi sebuah parti yang amat berkuasa di dalam kerajaan. Saya percaya, pada masa itulah cita-cita utama DAP yang memperjuangkan kesamarataan hak dan penghapusan dasar-dasar pro-Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Setapak 1967 dan Perlembagaan DAP akan dilaksanakan.

“Adakah kita sanggup biarkan perkara ini berlaku saudara- saudara?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku?” soal Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam.

Sehubungan dengan itu, Muhyiddin mahu usaha mesti digerakkan segera untuk menyatu padu parti-parti Melayu.

“Janganlah sengketa sesama kita menyebabkan bumi yang kita pijak ini menjadi milik orang. Masa tidak menyebelahi kita lagi kerana kuasa pun sudah tiada di tangan kita.

“Usaha juga mesti dilakukan segera untuk Perikatan Nasional kembali ke Putrajaya sebelum nasi menjadi bubur. Hanya dengan cara inilah, cita-cita songsang mereka itu boleh kita halang,” katanya. – MalaysiaGazette