Antara pengunjung yang hadir untuk menikmati suasana sekitar Pelantar Pemandangan yang bertempat di Menara Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Setelah dibenarkan beroperasi kembali selepas dua bulan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar kembali lagi dengan promosi istimewa buat warga Malaysia.

Menerusi promosi Super Deal, rakyat  Malaysia berpeluang berkunjung ke Menara KL dan Menara Alor Setar dengan tawaran harga yang amat berpatutan bermula 17 Mac hingga 16 April ini.

Promosi yang sama menawarkan tiket percuma kepada 100 pengunjung pertama pada setiap hari untuk ke Pelantar Pemandangan (Observation Deck) di Menara KL.

Manakala tiket percuma diberikan kepada 25 pengunjung pertama setiap hari untuk ke Pelantar Pemandangan di Menara Alor Setar.

Bagi pengunjung Pelantar Pemandangan ke-101, Menara KL menawarkan harga promosi RM15 untuk dewasa iaitu potongan separuh harga dan RM10 untuk kanak-kanak.

Manakala bagi lawatan ke Pelantar Pemandangan Menara Alor Setar pula harga promosi yang ditawarkan adalah RM6 bagi dewasa dan RM4 bagi kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, Menara KL dan Menara Alor Setar turut menawarkan harga promosi untuk lawatan ke Sky Deck pada harga RM24 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak.

Untuk yang berkunjung ke Star View Menara Alor Setar, pengunjungan dewasa hanya perlu membayar RM20 dan RM10 untuk kanak-kanak.

Antara pengunjung yang hadir untuk menikmati suasana sekitar Pelantar Pemandangan yang bertempat di Menara Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 MAC 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Ainol Shaharina Sahar berkata, promosi itu dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan domestik dengan menggalakkan rakyat melancong dalam negara.

Tambah beliau kedua-dua menara itu akan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

“Sanitasi penuh juga telah dilakukan bagi memastikan kebersihan terjamin di seluruh kawasan premis, sementara pembersihan secara berkala turut dilakukan selama 45 minit setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette