Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan gimik pelancaran diiringi Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) pada Majlis Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 di Merdeka 118 Tower Site, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR –  Merdeka 118 menjadi menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan muncul tertinggi di Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut melahirkan rasa bangga kerana puncak menara itu dapat disempurnakan walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Jelas beliau, ia bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

“Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.

“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan menara Merdeka 118 yang turut dihadiri beberapa barisan menteri Kabinet di sini hari ini.

Pada majlis sama turut diumumkan ketinggian rasmi menara Merdeka 118 yang milik anak Permodalan Nasional Berhad (PNB), PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB) adalah 678.9 meter.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembinaan menara Merdeka 118 bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint itu akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral.

Menurut beliau, pembangunan menara itu juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

Malah ujar beliau, menara Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

“Permohonan Geran Merdeka 118 ini telah pun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021 di mana Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan.

“Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosio-ekonomi.

“Pembinaan Merdeka 118 juga merupakan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Hal ini dapat dilihat melalui usaha yang diambil oleh PNB untuk memelihara khazanah negara kita iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara melalui kerja pemuliharaan yang telah giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menambah, inspirasi menamakan bangunan itu sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Jelas beliau, 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.

“Reka bentuk menara yang tersergam teguh ini sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘merdeka’ pada 64 tahun yang lalu,” katanya. – MalaysiaGazette