PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah mengarahkan kenyataan mingguan dikeluarkan sebagai peringatan kepada orang awam bahawa polis tidak tidur, tetapi mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengutarakan percakapan menyentuh 3R.

Katanya, penyebaran mesej  3R iaitu Race, Religion, dan Royal Institution (kaum, agama dan institusi diraja) itu mudah dipercayai orang yang tidak melakukan saringan dan akan membawa kepada ketegangan dalam masyarakat, termasuk kebencian.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed untuk mengeluarkan kenyataan setiap minggu supaya orang ramai tahu bahawa polis telah mengambil tindakan ke atas mesej-mesej 3R ini,” katanya dalam wawancara bersama Kwong Wah Yit Poh.

Abdul Hamid memberi jaminan, polis akan membuka fail siasatan sekiranya muncul mesej sensitif 3R yang dalam mana-mana platform media sosial.

“Jangan ingat polis tengah tidur, kami ada unit khas yang menyiasat kes seperti ini dan akan mengheret individu berkenaan ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, Jho Low yang dikehendaki polis dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerima perlindungan daripada sebuah negara, tetapi punca keadaan itu tidak diketahui.

Menurutnya, kedudukan Jho Low sudah dikenal pasti, tetapi perundingan masih dijalankan.

“Ada sebuah negara yang melindungi dia dan ayah dia juga berada di luar negara, walaupun mereka mungkin tidak berada bersama.

“Boleh jadi di Hong Kong, Macau, tetapi mereka bebas selagi berada di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, polis perlu bersabar dalam kes itu, kerana tidak mahu segala usaha berakhir dengan kegagalan.

“Yang penting, kami tahu kedudukan dia dan siapa yang tengah membantu dia. Persoalannya cuma masa yang diperlukan untuk rundingan sahaja,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh. – MalaysiaGazette