Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berucap pada malis ceramah Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2017.
KUALA LUMPUR – Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) bukan milik MIC atau kerajaan, tetapi ia adalah kepunyaan masyarakat India yang mana pelaksanaannya tidak harus dipandang rendah.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kejayaan atau kegagalan pelaksanaan pelan induk bertempoh 10 tahun itu terletak di tangan kaum India.
“Saya percaya kami sudah menyampaikan mesej mengenai pelaksanaan MIB kepada masyarakat India dan akan terus menyebarkannya dengan turun padang.
“Ia memberi keyakinan  kepada masyarakat India bahawa apa yang diusahakan kerajaan dan MIC adalah untuk membentuk komuniti yang cemerlang dalam semua lapangan.
“Ini bukan hak milik kami atau kerajaan, sebaliknya MIB adalah aset berharga tetap komuniti India yang sepatutnya lebih positif dan menaruh harapan terhadap keikhlasan kami yang benar-benar mahu melihat ia berjaya dan meletakkan anda di tahap cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ceramah Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India bersama lebih 800 wakil badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik, aktivis masyarakat dan orang awam di Dewan Netaji, Ibu Pejabat Pusat MIC di sini.
Antara cadangan yang dikemukakan dalam ceramah itu ialah
peningkatan populasi masyarakat India yang dibimbangi akan mempengaruhi pemerkasaan komuniti itu dalam MIB.
Subramaniam berkata, MIC komited untuk melahirkan lebih ramai masyarakat India yang berkualiti dalam semua sektor berbanding meningkatkan kuantitinya.
“Bagi saya kita tidak perlu risaukan mengenai populasi masyarakat India, ia satu perkara yang mustahak, tetapi fokus ke arah melahirkan masyarakat yang berkualiti, pintar dan berdaya saing lebih relevan,” ujarnya.
Katanya, beliau akan bermesyuarat dengan Ketua Setiausaha setiap kementerian untuk membincangkan semua perkara yang disenaraikan dalam pelan induk agar dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette