Michael anak Garing

SINGAPURA – Pelaksanaan hukuman mati ke atas Michael anak Garing telah dijalankan di Penjara Changi di sini pagi tadi, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura hari ini.

Michael telah disabitkan atas pembunuhan pada tahun 2015 oleh mahkamah tinggi republik itu dan sabitan disahkan oleh mahkamah rayuan pada 2017.

“Jenazahnya dijangka tiba di Lapangan Terbang Sibu esok sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kapit. Kami sedang membantu ahli keluarga Michael yang berada di sini, “kata jurucakap Suruhanjaya Tinggi kepada Bernama.

Michael difahamkan telah memeluk Islam ketika dipenjara dan memilih Muhammad Arif Sufi.

Pada 20 Mac, ibu bapa Michael, Ensiring anak Garman dan Garing anak Kanyan, telah menghantar petisyen permohonan kepada Presiden Singapura untuk menyelamatkan nyawa anak mereka dengan menjalani hukuman penjara seumur hidup.

“Saya masih tidak percaya walaupun diberitahu hukuman itu telah dilakukan,” kata seorang ahli keluarga Michael yang tidak mahu dinamakan, ketika dihubungi.

Menurutnya, kedua-dua ibu bapa Garing cukup sedih kerana kematian anaknya.

Michael, ketika berusia 21 tahun, terlibat dengan geng yang melakukan rompakan di Jalan Kallang pada Mei 2010 hingga menyebabkan kematian seorang pekerja pembinaan, Shanmuganathan Dillidurai, 41.

Tiga lagi cedera parah.

Seorang lagi dituduh, Tony Imba, telah dipenjara seumur hidup dengan 24 sebatan manakala Hairee Landak, dijatuhi hukuman penjara 33 tahun pada tahun 2013 dan 24 sebatan.

Donny Meluda, yang telah melarikan diri selama lebih daripada enam tahun, diberikan hukuman yang sama dengan 33 tahun penjara dan 24 sebatan. – MalaysiaGazette