Presiden Malaysian Indian Football Association (MIFA), Datuk T. Mohan bergambar bersama jersi pada temubual khas bersama presiden MIFA di Bandar Puteri Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 JANUARI 2018

MUNGKIN ramai di antara kita pernah mendengar nama sebuah kelab bolasepak, Panyee FC, yang berasal dari sebuah kampung terapung di perairan selatan Thailand. Nama Panyee FC mungkin tidak segah nama-nama besar dalam liga Thailand tetapi semangat yang mereka ada membuktikan mereka juga mempunyai impian dan cita-cita untuk bermain dalam liga bolasepak negara tersebut.

Kisah Panyee FC menjadi perhatian di seluruh dunia apabila terhasil sebuah video pendek mengenai kesungguhan anak-anak kampung di situ yang terpaksa menyiapkan sebuah padang bola sepak ‘terapung’ kerana mereka tidak mempunyai padang rumput disebabkan keadaan ‘fizikal’ kediaman mereka yang dibina di atas air.

thai-boys-build-soccer-field

Akhirnya daripada sebuah kampung yang tidak mempunyai padang, Panyee FC kini muncul sebagai salah sebuah kelab bola sepak terbaik di selatan Thailand. Panyee FC juga berjaya memenangi kejohanan peringkat belia selatan Thailand selama enam tahun berturut-turut (2004 – 2010).

Itu kisah di Thailand.

Sebenarnya di negara kita juga ada kisah menarik mengenai pasukan bola sepak. Kalau di Thailand kita ada Panyee FC, di sini kita ada Malaysian Indian Football Association (MIFA).

Walaupun objektif utama MIFA untuk mencungkil bakat pemain-pemain bola di kalangan remaja dan belia masyarakat India, sebenarnya mereka ada strategi ‘serampang tiga mata’ di sebalik penubuhannya.

Selain bolasepak, MIFA juga ditubuhkan untuk menangani masalah sosial di dalam masyarakat India serta iltizam pemimpin India yang mahu anak-anak muda mereka yang berbakat untuk ‘mengubah’ kemiskinan keluarga melalui bola sepak.

Menurut Presiden MIFA, Datuk T. Mohan, pada mulanya mereka hanya menganjurkan pertandingan bolasepak di kalangan kanak-kanak dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil seluruh Malaysia.

Ketika itu, katanya, setiap negeri perlu menyediakan dua pasukan bolasepak untuk bertanding.

13173224_1635071996813050_1809107983712038337_o

” Dari situ kita ada satu program yang kita panggil ‘MIFA Beyond Football’. Kita ada lebih kurang 20 lebih pusat latihan seluruh Malaysia. Seminggu dua kali para pemain akan berkumpul di pusat ini dan berlatih. Dia kena datang (berlatih) dua setengah jam pada hari yang ditetapkan. Dua jam mereka di padang, setengah jam mereka kena dengar apa yang kita nasihatkan pada mereka. Dari situlah kita pilih para pemain remaja kita.

” Yang keduanya kita buat pemilihan di negeri-negeri. Kami masuk sampai ke kampung-kampung dan ladang-ladang kelapa sawit. Contohnya di Kedah. Katalah kita pergi ke Sungai Petani dan Kulim, kita akan buat iklan, promosi menjemput semua pemain yang ingin menyertai ‘selection’ untuk hadir.

” Yang berjaya dalam pemilihan, kita bawa balik mereka dan beri latihan yang sepatutnya. Yang mana layak kita bagi mereka peluang untuk bermain, seandainya tak layak, kita simpan dulu. Kita buat dari utara hingga ke selatan. Daripada pemilihan itu saja, kita (MIFA) berjaya mendapat lebih kurang 50 peratus muka baru (dalam pasukan),” katanya pada Malaysia Gazette semalam.

39097992_1770278179688249_5204608633052069888_o

Untuk rekod, MIFA mula menyertai saingan bola sepak Malaysia pada tahun 2014 dengan menyertai kejohanan Piala FAM. Pada tahun itu, mereka menamatkan saingan ditangga ke-9 liga. Pada tahun berikutnya, 2015 MIFA berjaya menjadi naib juara Kumpulan B dalam dibawah pasukan Melaka United.

Tahun 2016 merupakan tahun dimana mereka berjaya menjulang Piala FAM seterusnya berjaya mara ke saingan Liga Premier!

16707440_1763955350296771_3791201444683803262_o

Terbaru, siapa sangka mereka akan beraksi di Liga Super apabila Felcra FC menarik diri daripada liga tersebut.

Pada musim lalu juga MIFA berjaya mengejutkan JDT 2-1 di Stadium Larkin dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia, satu keputusan yang telah membuka mata ramai pihak.

” Kami bukan kelab yang berduit, ramai pemain kami datang dari ladang, perkampungan yang jauh, miskin namun semangat setiakawan kami, bermula daripada jurulatih, pengurusan hinggalah kepada pemain, cukup tinggi dan itulah rasanya rahsia kejayaan MIFA seperti yang anda lihat.

” Kami pernah mengalami masalah kewangan yang sangat teruk hingga menyaksikan pemain tidak mendapat gaji hampir dua tiga bulan lamanya, kamu tahu yang pemain katakan pada saya? Mereka kata tak mengapalah Datuk, kami main bola sepak bukan kerana wang, tetapi kerana pasukan.

‘ Pendek kata, kami semua dalam MIFA dah ibarat macam satu famili, itulah kuncinya,” katanya.

MGF11012019_Interview Presiden MIFA_02
Temubual bersama Presiden Malaysian Indian Football Association (MIFA), Datuk T. Mohan di Bandar Puteri Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 JANUARI 2018

Dalam pada itu, Mohan turut mengakui, ada pemain bola sepak MIFA yang pernah terlibat dalam gangsterism tetapi kini telah berjaya menjadi seorang pemain bernilai dalam negara.

Malah katanya, MIFA juga tidak mempunyai halangan sekiranya para pemain mereka mengambil keputusan untuk berhijrah ke kelab-kelab lain yang boleh memberikan gaji yang lebih besar.

Ujarnya, malah MIFA berbangga sekiranya ada pemain mereka yang bukan saja mampu membawa balik gaji yang lumayan, tetapi juga dapat mewakili negara dalam pertandingan bola sepak. Antaranya penyerang N. Thanabalan.

MGF11012019_Interview Presiden MIFA_09
Temubual bersama Presiden Malaysian Indian Football Association (MIFA), Datuk T. Mohan di Bandar Puteri Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 JANUARI 2018

” Memang hasrat kita untuk menaikkan nama pemain-pemain ini , bila dah OK, dia boleh pergi mana-mana kelab yang dia nak main. Ramai pemain MIFA yang sekarang ini dah pergi ke kelab-kelab lain seperti di JDT, Kedah, Selangor dan lain-lain lagi.

” Kita memang nak lahirkan pemain, bukan saja pada MIFA tetapi juga negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohan mengakui, pihaknya terpaksa ‘mengkorporatkan’ MIFA dan seterusnya menjenamakan semula pasukan bola sepak itu tak lama lagi. Katanya besar kemungkinan nama ‘India’ pun akan digugurkan.

Menurut Mohan, sedangkan pasukan bola sepak negeri pun mengalami masalah kewangan, apatah lagi mereka.

MGF11012019_Interview Presiden MIFA_04
Temubual bersama Presiden Malaysian Indian Football Association (MIFA), Datuk T. Mohan di Bandar Puteri Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 JANUARI 2018

” Sebelum PRU14, memang pasukan MIFA disokong oleh MIC dan Barisan Nasional (BN). Tetapi lepas itu tiada lagi. Saya dah bagitahu dengan pemimpin Pakatan Harapan, tolonglah bantu pasukan ini, saya sedia menyerahkan pasukan ini kalau perlu.

” Saya juga dah bagitahu dengan media, dalam FB, pasukan ini mempunyai masalah kewangan, orang pandai komen saja tetapi kalau tak bagi duit, apa saya boleh buat. Akhirnya ada syarikat yang tampil dan sanggup menaja kami. Apapun dengan penjenamaan baru ini hanya nama pasukan saja yang bertukar, yang lain semua kita akan ‘handle’ macam biasa.

” Kalau tak ada nama India pun tak ada masalah…’multiracial’…mudah-mudahan kita akan dapat sokongan dari semua pihak, bukan satu golongan saja,” katanya optimis. – Malaysia Gazette.