KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijangka menjelma bila-bila sahaja daripada sekarang.

Rentetan itu, para pemimpin dari parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah mula turun padang ke setiap bahagian, kawasan Parlimen untuk bertemu rakyat.

Salah satu parti komponen yang tidak terkecuali ialah parti MIC.

Kerusi Parlimen di Cameron Highlands, Pahang merupakan kerusi tradisi MIC kini menjadi tumpuan pemimpin komponen BN antaranya myPPP.

Perkembangan terbaharu dalam MIC pula mengatakan tercetus rebutan kerusi itu dalam kalangan pemimpin parti itu sendiri untuk menjadi calon di kawasan yang sama.

Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC sejak tahun 2004 lagi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK. Devamany memegang kerusi itu selama dua penggal sehingga tahun 2013.

Kemudian bekas Presiden parti itu, Datuk Seri G. Palanivel pula memegang kerusi itu sehingga hari ini.

Pertembungan tiga penjuru di kawasan itu didakwa telah mengelirukan masyarakat khususnya pengundi di situ.

Setakat tahun Mei 2013 lalu, jumlah pengundi yang berdaftar di Parlimen Cameron Highlands ialah difahamkan seramai 27,980 orang.

Dalam MIC, Devamany dan Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy dikatakan turut berminat kerusi yang sama pada PRU-14.

Manakala seorang lagi pemimpin parti komponen BN pula sudah melobi kerusi itu dan sering dilihat turun padang sejak dua tahun lalu.

Sejak beberapa bulan lalu, Mohana Muniandy dilihat turun padang bersama jentera kerjanya dan berjumpa masyarakat di kawasan peranginan berkenaan.

Gambar aktiviti-aktivitinya selalu dimuat naik dalam laman media sosial Facebook dan WhatsApp sejak akhir-akhir ini secara lebih agresif.

Gelagat Mohana mencetuskan persoalan sama ada beliau sudah diberi ‘lampu hijau’ oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam untuk bertanding di situ atau pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mengesahkan kerusi itu akan diberi kepada MIC?

Subramaniam pula masih tidak membuka mulut mengenai perkara yang sama.

Bagaimanapun, sumber dalaman kepimpinan tertinggi MIC memberitahu, setakat hari ini, mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

Sumber sama turut mengesahkan kononnya Devamany turut berhasrat untuk kembali semula ke kerusi yang pernah disandang beliau selama dua penggal sebelum ini.

artikel muka depan Malaysia Nanban hari ini menceritakan Devamany dan Mohana merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands menjelang PRU-14 kali ini.
Muka depan akhbar Tamil Malaysia Nanban hari ini menceritakan Devamany dan Mohana berniat bertanding di Parlimen Cameron Highlands menjelang PRU-14 kali ini.

Ketika ini, bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel merupakan Ahli Parlimen Cameron Highlands sejak tahun 2013 dan oleh kerana beliau tidak lagi bersama MIC, beliau kini merupakan wakil rakyat bebas.

Walaupun sumber terdekat pemimpin itu mendakwa Palanivel akan mempertahankan kerusi itu sekali lagi tetapi UMNO didakwa tidak mahu situasi itu berlaku.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands diwujudkan pada tahun 2003 dan Devamany adalah calon BN pertama yang bertanding dan menang di situ dengan majoriti 6,260 undi.

Daripada seramai 15,202 pengundi,  beliau memperoleh 10,226 undi tetapi jumlah pengundi berdaftar ialah seramai 23,061 orang.

Pada tahun 2008 pula, Devamany mempertahankan semula kerusi itu tetapi majoriti kurang 3,117 undi sahaja.

Pada tahun 2013, Devamany bertanding di Sungai Siput sebelum tewas kepada PSM dan manakala Cameron Highlands dimenangi Palanivel tetapi dengan majoriti sedikit 462 undi sahaja.

Melihat keputusan PRU di Cameron Highlands pada tahun 2013 ia mencetuskan persoalan apakah ia masih merupakan kerusi selamat untuk MIC pada PRU-14.

Pengundi dan masyarakat di kawasan berkenaan dikatakan mahu melihat perubahan dan sumber-sumber mendakwa sudah tiba masanya ia diberi kepada UMNO.

Maka sumber juga mendakwa tiada jaminan MIC akan memperoleh Cameron Highlands kali ini disebabkan rekod pencapaian dikawasan itu sebelum ini.

Apa pun, sama-sama kita tunggu dan persoalan sama ada Cameron Highlands milik Devamany, Mohana atau bertukar tangan kepada UMNO akan terjawab. – MalaysiaGazette