Seorang penguatk uasa memerika bungkusan 'Milo' tiruan semasa memeriksa sebuah premis di Shah Alam, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas dua guni dan 60 bungkus serbuk ‘Milo’ dan 21 bungkus  ‘Nescafe’ tiruan yang bernilai RM1,300 daripada seorang wanita tempatan.

Operasi yang dijalankan di sebuah kediaman di Shah Alam itu hasil daripada maklumat orang ramai yang mengadu penjualan serbuk Milo dan Nescafe tiruan yang diiklankan menerusi Facebook.

Hasil risikan yang dijalankan mendapati penjual menawarkan penjualan serbuk minuman tersebut dengan harga yang lebih rendah, kata Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal palsu digunakan dan Seksyen 18(1) Akta Perihal Dagangan
2011 iaitu tiada seorang pun boleh membuat apa-apa pernyataan palsu atau yang mengelirukan dalam mana-mana iklan berhubung dengan apa-apa barang atau perkhidmatan.

Jika disabitkan kesalahan dibawah Sek. 5(1)(b) APD 2011 boleh dikenakan penalti iaitu jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM250,000, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan dibawah Sek. 18(1) APD 2011 boleh dikenakan penalti.

Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM250,000 ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Iskandar berkata, para peniaga perlu mempunyai etika dalam menjalankan perniagaan dengan memberi maklumat yang benar dan tepat berhubung sesuatu barangan.

”Adalah menjadi suatu kesalahan jika peniaga memberikan representasi atau menggunakan perihal dagangan palsu atau mengelirukan terhadap barangan yang dijual. Produk-produk tiruan tersebut berkemungkinan memudaratkan kesihatan pengguna disebabkan kandungan bahan-bahan yang digunakan tidak diketahui,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan agar menyalurkan maklumat kepada Kementerian ini dengan melaporkan kegiatan yang tidak beretika ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. – MalaysiaGazette