Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa. foto: AFIQ RAZALI, 08 OKTOBER 2018.

PETALING JAYA – Agamawan dan pemimpin yang dihormati masyarakat sewajarnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum menyerang dan mengeluarkan kenyataan hingga menghina secara terbuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, malangnya ada segelintir ulamak menunjukkan sikap seperti netizen yang tidak sepatutnya diperbincangkan di laman sosial.

“Macamlah menteri agama ini bodoh sangat, macamlah menteri agama antara agama di Malaysia. Cakap orang di media sosial ini saya tak hairan, itu bukan tahap kita untuk bincangkannnya.

“Kadangkala yang cakap ini (maki hamun) ini orang agamawan, mereka dihormati oleh masyarakat.

“Paling tidak ambillah satu sikap, biar kita minta penjelasan daripada menteri dahulu, apa sebenarnya berlaku, kalau dia hormat dia (menteri),” katanya ketika berucap di Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS), di sini, hari ini.

Terdahulu Mujahid merasmikan Persidangan Meja Bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di Dewan Persidangan IAIS Malaysia, di sini.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berucap bagi merasmikan Persidangan Meja Bulat Falsafah Dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 08 OKTOBER 2018.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani pada Sabtu yang menggesa kerajaan bertemu dan berbincang dengan ulamak sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat.

Ia susulan daripada kenyataan Mujahid dalam temu bual eksklusif dengan The Star pada Jumaat bahawa tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Beliau juga berasa kesal apabila isu agama seringkali dipolitikkan pihak tertentu hingga wujudnya persaingan agama Islam dalam kalangan sesama penganutnya.

“Banyak agenda politik lebih bahaya menguasai tindakan-tindakan antaranya ialah isu-isu perundangan Islam yang bukan bersikap substensif tetapi lebih kepada faktor-faktor politik yang lebih mementingkan siapa yang lebih Islam.

“Kita tidak bersaing siapa yang lebih Islam dalam urusan agama, kita kembali kepada prinsipal, bukan kerana nak buktikan saya lebih Islam daripada dia kerana ia hanya jadi musibah kepada negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette