Ahmad Maslan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan menggesa agar syarikat diperbadankan (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) meningkatkan kadar bayaran dividen kepada kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata dividen khas itu memastikan kutipan dividen dapat diberikan semula kepada rakyat.

Jelas beliau, menerusi Belanjawan 2023, kerajaan menyalurkan sejumlah RM24.87 bilion bagi belanja mengurus dan pembangunan kepada BBP.

“Jumlah dividen dibayar MKD bagi 2022 ialah sebanyak RM50.73 bilion manakala RM28.18 bilion (2021), jadi kita harap untuk tahun ini ia dapat terus ditingkatkan,” katanya dalam sidang media, pagi ini.

Beliau berkata demikan selepas menghadiri program kepimpinan dan tadbir urus baik Lembaga Pengarah Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan Badan Berkanun Persekutuan di Kementerian Kewangan, pagi ini.

“Segala dividen ini akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan seterusnya  berikan semula oleh kerajaan dalam bentuk pembangunan serta bantuan kepada rakyat” katanya.

Petronas dan Khazanah Nasional Berhad kekal menjadi penyumbang tertinggi dividen oleh MKD.

Sementara, Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi BBP yang konsisten dalam menyumbang dividen sekitar RM3 bilion setahun.

Ahmad berkata, terdapat juga syarikat MKD yang tidak dapat memberikan dividen dengan kadar memberangsangkan.

Contohnya syarikat yang terbabit dalam menyediakan prasarana dan infrastruktur seperti Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang terbabit dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula tidak mencatatkan keuntungan kerana tidak dibenarkan menaikan tambang tiket sewenang-wenangnya.

“Begitu juga dengan MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) yang tidak dapat memberikan dividen kerana penamatan projek  Projek keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura,” jelas Ahmad lagi.

Begitu juga dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Oleh itu, saya harap setiap syarikat MKD dan BBP dapat berusaha  meningkatkan pemberian dividen ini,” katanya. – MalaysiaGazette