Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempunyai peruntukan kuasa untuk memecat mana-mana ahli yang melakukan salah laku seperti melanggar Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli.

Perkara itu dijelaskan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang menyatakan peruntukan kuasa itu adalah di bawah Fasal 20.9 (d).

Katanya, setiap daripada mereka yang menjadi ahli UMNO perlu mematuhi Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli UMNO seperti diperuntukan di bawah Fasal 20.8 Perlembagaan.

“Inilah disiplin dalam UMNO. Disiplin ini termasuklah patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika Ahli, mengikut perintah parti, menjalankan dasar-dasar parti, patuh dan menghormati keputusan parti, menjaga rahsia parti, memelihara nama baik dan maruah parti serta sentiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.

“Di bawah Perkara 11 Tataetika Ahli pula, ahli-ahli boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan jika didapati melakukan salah Laku di bawah Perkara 5.3 Tataetika Ahli iaitu menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah atau lain-lain karya secara langsung atau tidak langsung yang mempunyai unsur-unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan mengelirukan seseorang berkenaan ahli yang lain,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), membuat keputusan memecat keahlian Datuk Lokman Noor Adam menerusi undian angkat tangan.

Keahlian Lokman Adam dipecat berikutan tindakan anggota MKT itu mendedahkan rakaman suara percakapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah disunting kepada umum.

Bagaimanapun, Lokman Adam tidak hadir ke mesyuarat yang berlangsung selama empat jam itu, kerana berada di Jepun atas urusan peribadi.

Mengulas lanjut, Dr. Shamsul Anuar berkata, mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal yang sama sekiranya melakukan salah Laku di bawah Perkara 5.4, iaitu membuat kenyataan tentang seorang ahli yang lain yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindari atau mengelaknya.

Kata beliau, tindakan memecat ahli yang engkar bukan perkara baru kerana ia pernah dilaksanakan pada masa lalu iaitu dalam kes pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi.

“Ia proses dan amalan biasa dalam UMNO. Apabila Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan, ianya dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan MKT untuk dibuat keputusan.

“Malah dengan kuasa yang ada MKT UMNO juga berkuasa dan dibenarkan oleh perlembagaan UMNO untuk membuat apa-apa keputusan tanpa dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO,” katanya.

Apa yang penting, katanya, semua ahli mempunyai hak dalam UMNO, namun apa juga perkara ia juga tertakluk kepada Perlembagaan parti yang dibentuk dalam Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

Katanya, perkara yang penting Presiden UMNO secara peribadi tiada kuasa memecat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli. – MalaysiaGazette