Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – MMC Corp Bhd sudah pun mengemukakan cadangan untuk semakan semula projek MRT3 kepada kerajaan pada akhir tahun lalu.

Cadangan itu menyediakan alternatif bagi mengurangkan kos projek itu yang bernilai RM45 bilion di bawah pelan asal.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan MMC Corp, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh enggan mengulas mengenai pengurangan kos.

“Kami mencadangkan supaya kerajaan menyiapkan projek itu mengikut fasa, berbanding melengkapkan keseluruhan projek.

“Kami turut mencadangkan stesen bawah tanah digantikan kepada stesen tempat tinggi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan syarikat tersebut.

Che Khalib
Che Khalib Mohamad Noh

Che Khalib menambah, keutamaan pelan cadangan MRT3 akan diberikan kepada lokasi yang memiliki berkepadatan tinggi.

Sebagai contoh, MRT3 boleh bermula dengan dua pertiga daripada laluan menghubungkan kawasan kepadatan tinggi, yang cenderung mempunyai permintaan yang tinggi untuk pengangkutan rel. Bahagian yang selebihnya boleh diselesaikan dalam fasa yang berbeza apabila permintaan untuk kawasan tersebut mula berkembang.

MRT3 sepanjang 40 kilometer dirancang melalui Kerinchi, Jalan Duta, Setiawangsa, Salak Selatan, Pandan Indah dan Bandar Malaysia melalui landasan keretapi bawah tanah. – MalaysiaGazette