Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Mogok bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik sebaliknya, permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta menerusi cara lebih berhemah.

Justeru, kerajaan sentiasa memberikan respons atau bertindak terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjawab mengenai isu mogok sektor kesihatan yang dikatakan akan diadakan tidak lama lagi susulan ketidakpuasan hati anggota kesihatan berhubung beberapa perkara termasuk isu pemotongan elaun.

Dr Noor Hisham berkata, buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menerima hebahan mengenai mogok itu melalui saluran media sosial sahaja dan tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya.

“Penganjuran mogok secara amnya boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan terjejas selama mana ianya dianjurkan.

“Lazimnya ia dianjurkan untuk menyampai mesej tertentu kepada pihak-pihak berkaitan. Namun perkara ini perlu ditimbang dengan teliti.

“Ini memandangkan perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan yang kritikal, terutama kerana ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berpandangan mogok terutama secara tidak terancang, mungkin bukan suatu jalan penyelesaian yang terbaik terhadap apa jua permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.

Jelasnya, perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor yang kritikal begitu juga bagi petugas kesihatan.

“Ini disebabkan oleh kompleksiti sektor ini, serta cabaran, risiko dan jerih perih yang perlu dihadapi oleh anggota kesihatan dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, tanpa sistem kesihatan yang utuh dan warga kerja perkhidmatan kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan, tidak mungkin negara boleh terus maju ke hadapan.

“Pandemik Covid-19 telah mengajar kita bahawa tanpa sistem kesihatan yang berdaya tahan, negara tidak mungkin dapat mengawal wabak tersebut dengan baik dan orang ramai tidak mungkin dapat meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa.

“Kemakmuran yang kita kecapi kini sudah tentu banyak disumbangkan oleh pakar dan anggota kesihatan di pelbagai peringkat sama ada di sektor pencegahan atau kesihatan awam mahupun yang bertugas di sektor klinikal dan penyelidikan.

“Masing-masing mereka mempunyai peranan yang sangat penting. Berkat pengorbanan yang dilakukan oleh anggota kesihatan sebelum ini, rakyat dapat menjalankan pekerjaan mereka semula,” jelasnya.

Tambah beliau, perkhidmatan kesihatan seharusnya perlu terus berdaya tahan kerana cabaran akan datang termasuk risiko krisis atau pandemik mungkin lebih hebat dan kompleks daripada apa yang kita lalui sebelum ini.

Dr Noor Hisham turut percaya, kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan segala permasalahan dan permintaan anggota kesihatan diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kemampuan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, perkhidmatan kesihatan dilihat terus diberi keutamaan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan sebagaimana yang dapat kita perhatikan melalui Belanjawan 2023,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, tular di laman-laman sosial mengenai penganjuran mogok yang didakwa dirancang esok sempena Hari Doktor dan 12 Mei ini sempena Hari Jururawat.

Mogok berkenaan dikatakan dibuat susulan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) akan dikaji semula. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. mogok dan demontrasi isu yang sama…

    .KETUA PELOPOR DEMONTRASI adalah ANWAR IBRAHIM pm sekarang….mengajak rakyat TURUN DI JALANAN kerana kononya menegakan KEADILAN PERIBADINYA yang DIJUBURI

    RAKYAT TERPALIT dengan laungan REFORMASI dan LAWAN TETAP LAWAN yang dizahirkan ANWAR MUNAFIK….meuyalak tidak akan kerjasama dengan parti dan pemimpin RASUAH KLUSTER MAHKAMAH dan keleoprat…akhirnya ANWAR jadi KEPARAT

Comments are closed.