Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Pemilihan calon BN itu diumumkanĀ Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada satu sidang media di Kimanis hari ini.

Mohamad yang merupakan anak tempatan dikenali dengan panggilan Moh adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari.

Mohamad merupakan pemegang Ijazah Undang-Undang (LL.B) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beliau merupakan seorang peguam.

Mohamad merupakan Ketua UMNO Sabah Bahagian Kimanis (2019), menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan (2013-2018), pernah memegang jawatan Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Naib Ketua UMNO Bahagian Kimanis (2013-2018), dan pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahahian Kimanis (2004-2013). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.