Persaingan sengit  Naib Presiden MIC akhirnya terjawab apabila Ahli Dewan Negara, Senator Datuk T. Mohan dan Datuk T. Murugiah berjaya mempertahankan kedudukan itu.

KUALA LUMPUR – Persaingan sengit  Naib Presiden MIC akhirnya terjawab apabila Ahli Dewan Negara, Senator Datuk T. Mohan dan Datuk T. Murugiah berjaya mempertahankan kedudukan itu.

Manakala bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan pula muncul muka baharu mengalahkan penyandang terdahulu, Datuk C Sivarraajh dalam pemilihan penggal 2021-2024 hari ini.

Selain Sivarrajh, turut kalah dalam persaingan ini ialah AK Ramalinggam yang merupakan Setiausaha Eksekutif dan Ketua Penerangan, Datuk V Gunalan.

Mohan muncul tangga pertama dengan undian sebanyak 11,586 manakala Murugiah mendapat 9,139 undian dan Asojan sebanyak 8,703 undian.

Pengumuman itu yang di umumkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan secara rasmi kepada pihak media petang tadi selepas selesai kiraan undi hari ini di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.

Saravanan turut memaklumkan Ramalingam memperoleh 7,102 undi, Sivaraajh (4,589) dan Gunalan 3,223 undi.

Proses pengundian jawatan tiga naib presiden dan 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti berusia 75 tahun itu berlangsung 4 petang semalam membabitkan lebih 20,000 perwakilan MIC dari 140 Bahagian seluruh negara.

Sememangnya sejak dulu lagi pemilihan barisan kepimpinan tertinggi pusat parti itu diadakan serentak dengan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) namun pada tahun ini ia diadakan secara berasingan.

Sebelum ini, Tan Sri S A Vigneswaran dan Saravanan masing-masing berjaya mempertahankan jawatan mereka sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan berkenaan tanpa bertanding. – MalaysiaGazette