Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei ini dan akan berterusan sehingga September 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa Monsun Barat Daya, pembentukan awan hujan berkurang sepanjang tempoh berkenaan.

Ini akan menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan menerima taburan hujan lebih rendah.

Tambah beliau, dalam tempoh Monsun Barat Daya juga fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.

“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.

Jelas beliau, garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan. – MalaysiaGazette