M. Kumar merasmikan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengetahui motif sebenar kes bunuh seorang lelaki tempatan di kelab malam Route 66, Jalan Abdullah Tahir di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan turut dijalankan terhadap seorang suspek berusia 30-an yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai pada Isnin lalu selepas melarikan diri ke luar negara ke Bangkok, Thailand sejurus kejadian itu berlaku.

Jelasnya, suspek merupakan salah seorang daripada 15 individu yang ditahan antara Ahad dan Isnin lalu bagi membantu siasatan kes yang sama.

“Suspek berjaya ditahan hasil kerjasama dan pertukaran maklumat rakan kita (polis) di Thailand, dia kemudiannya ditahan selepas diekstradisi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Op Selamat Tahun Baharu Cina 21/2024 Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas di sini hari ini.

Memetik laporan media Thailand, ahli perniagaan berusia 31 tahun itu ditahan di sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok kira-kira pukul 4.45 petang.

Hasil siasatan dijalankan mendapati mangsa yang berusia 24 tahun telah mencuri wang sejumlah RM30,000 daripada kelab malam berkenaan dan digunakan untuk berjudi secara atas talian.

Setelah Polis Thailand merakamkan keterangan suspek yang fasih berbahasa Thailand itu, polis telah berkoordinasi dengan pihak berkuasa Malaysia untuk ekstradisi segera lelaki berkenaan.

Dala pada itu, Kumar berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan dijalankan.-MalaysiaGazette