Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa orang Melayu agar tidak terus terperangkap dalam isu stoking kalimah Allah sebaliknya bangkit menyahut seruan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi serta sosial masyarakat.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata,  pemerkasaan ekonomi itu bukan kepentingan bagi orang Melayu sahaja bahkan ia merupakan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia.

“Kes stoking ini tidak harus dibincangkan lagi kerana ia telah dibawa ke pengadilan.Kita minta semua umat Islam supaya move on dalam isu stoking dan membiarkan pihak berwajib tanganinya dengan cara bijaksana.

“Orang Melayu jangan terlalu beremosi hingga terbabas daripada landasan yang sebenar sebaliknya kita perlu bangkit meneruskan agenda memperkasakan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yussof meminta kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan cadangan menubuhkan Majlis Penasihat Pembangunan Ekonomi Kebangsaan yang  dinamakan Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan Madani (MPEKM) bagi menjayakan agenda memperkasakan ekonomi negara.

Katanya, MPEKM ini dicadang terdiri daripada ahli-ahli veteran negara yang mempunyai pengalaman luas selain telah berhidmat kepada negara dengan cemerlang.

Antara nama yang disyorkan termasuk Tun Musa Hitam; Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah; Tan Sri Rafidah Aziz; Tan Sri Dr Ramon Navaratnam; Tan Sri Abdul Wahid Omar; Tan Sri Dr Kamal Salih dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

“Pelantikan ahli dalam MPEKM mestilah terdiri daripada pakar-pakar ekonomi semua kaum termasuk Sabah dan Sarawak bagi meyakini sokongan rakyat Malaysia kepada usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette