Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Operasi institusi pengajian tinggi (IPT) di era globalisasi ini sukar untuk berdiri sendiri dan memerlukan kolaborasi dengan institusi lain namun tanpa berkompromi mengenai aspek kualiti.

Menyedari hakikat itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan inisiatif MQA Global bagi memudahkan IPT tempatan menjalankan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya menggariskan lima perkara di bawah inisiatif berkenaan yang diyakini dapat membantu IPT tempatan untuk bekerjasama dengan IPT luar negara dalam pelbagai konteks.

Pertama katanya, membabitkan pengiktirafan bersama dengan badan akreditasi luar negara untuk menerima program ditawarkan IPT Malaysia yang sudah diiktiraf MQA.

Beiau berkata, MQA akan bekerjasama dengan semua badan akreditasi di dunia supaya mempunyai persetujuan mana-mana program IPT Malaysia yang sudah menerima akreditasi MQA akan diterima pakai oleh mereka dan begitulah sebaliknya.

“Kedua, kolaborasi dengan badan akreditasi global di negara yang mempunyai program pendidikan tinggi Malaysia bagi memastikan peluang pengajian disediakan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Ini ialah agenda yang dihasratkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad supaya MQA menjalankan kerjasama erat dengan badan akreditasi antarabangsa bagi meningkatkan imej pengajian tinggi negara.

“Hal ini turut dizahirkan menteri sendiri menerusi beberapa siri pertemuan sebelum ini dengan pemimpin beberapa negara seperti dari Jerman, Kanada dan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai usaha MQA dalam membantu pengantarabangsaan program IPT tempatan.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, bagi memperkasa konsep pendidikan transnasional, pihaknya memperkenalkan pendidikan fleksibel.

“Dalam perkara ketiga inisiatif MQA Global, pendidikan fleksibel boleh ditawarkan menerusi program micro-credential bukan hanya untuk pelajar tempatan tetapi juga untuk penuntut antarabangsa.

“Keempat, pertukaran ahli akademik, mobiliti pelajar, penganjuran pelbagai program termasuk penyelidikan, bengkel, seminar dan webinar serta kelima menjayakan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, dengan inisiatif itu, MQA yakin dapat membantu IPT tempatan untuk menjalin kerjasama dengan IPT luar negara.

“MQA akan membantu dalam aspek akreditasi atau jaminan kualitinya dan diharapkan agar kita mampu mengeksport pendidikan tinggi tempatan ke luar negara melalui program francais di seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette