Golongan PKS paling terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 dan memerlukan perhatian dari kerajaan.

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan kerajaan melaksanakan moratorium secara bersasar selama 12 bulan, sekiranya cadangan pelaksanaan moratorium enam bulan tidak diluluskan.

Felo Kanannya, Yazid Othman berkata, pihaknya akur jika kerajaan tidak mampu melaksanakan moratorium enam bulan melibatkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen dan pinjaman kredit termasuk kad kredit.

“Namun begitu, kita berharap kerajaan boleh pertimbangkan moratorium secara bersasar selama satu tahun.

“Ia hanya terhad pada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga bawah RM150,000, nilai hartanah di bawah RM1.5 juta dan semua pinjaman di bawah RM100,000 tanpa kenaikan bunga,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mendengar suara rakyat, bukan sekadar akur dengan kepentingan bank atau pandangan agensi penarafan antarabangsa semata-mata.

Ujar beliau, umum tahu bank dan institusi kewangan tidak langsung terjejas dengan pelaksanaan moratorium itu, malah terus mencatat keuntungan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Dalam pada itu, Yazid juga menggesa Kementerian Kewangan mempertimbangkan bantuan tambahan kepada peniaga dan usahawan Bumiputera susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Kata beliau, apa yang sedang atau telah diberi oleh Kementerian Kewangan tidak mencukupi untuk rakyat menghadapi kesan daripada PKP terbaharu ini.

“Saranan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada sektor perkilangan adalah tepat, kerana di situlah puncanya 48 peratus atau hampir setengah dari keseluruhan penularan wabak Covid-19.

“Sektor ekonomi lain terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang majoritinya adalah Bumiputera dihukum dengan sekatan ke atas aktiviti perniagaan mereka disebabkan majoriti penularan wabak dari kluster kilang dan perumahan pekerja.

“Ini amat tidak patut kerana syarikat yang memiliki kilang besar itulah yang sebenarnya meraih keuntungan besar atau mempunyai kapasiti kewangan lebih kukuh,” katanya.

Katanya, sepanjang PKP 1.0 dan 2.0 rakyat telah mengeluarkan wang simpanan masa tua melalui i-Sinar dan i-Lestari berjumlah RM77.8 bilion dan ini secara tidak langsung membantu menyokong ekonomi negara dari segi perbelanjaan.

Sepatutnya, tegas beliau, tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk memberi pakej bantuan kewangan seperti Dana Sara Hidup Covid 3.0 berjumlah RM8 bilion untuk enam juta orang.

“Ia juga boleh disalurkan melalui subsidi upah di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mereka yang layak iaitu mempunyai upah di bawah RM5,000 yang diremit secara terus pada majikan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette