Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi turut membenarkan permohonan peguam Harvinder Singh, yang mewakili Muhammad Shafee supaya jaminan sebanyak RM500,000 dibayar pada hari ini dan baki selebihnya diselesaikan pada 18 Sept ini.

Hakim itu turut memerintahkan Muhammad Shafee untuk menyerahkan dua pasport iaitu antarabangsa dan diplomatik kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pada awal prosiding, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon izin daripada mahkamah supaya keempat-empat pertuduhan dibacakan kepada Muhammad Shafee, yang berada di dalam kandang tertuduh dengan tangannya tidak bergari.

Sebaik sahaja kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa secara berasingan, Muhammad Shafee, 66, yang memakai kemeja putih dan bersut hitam mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.

Jurubahasa: Adakah Tan Sri faham pertuduhan

Muhammad Shafee: Faham.

Jurubahasa: Adakah Tan Sri mengaku salah atau tidak mengaku salah

Muhammad Shafee: Tidak mengaku salah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM2.5 juta dengan dua penjamin terhadap peguam terkenal itu serta dua pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Harvinder memohon bagi pihak anak guamnya dibebaskan secara bon peribadi dengan tiada jumlah jaminan di bawah Seksyen 387 Kanun Acara Jenayah.

“Anak guam saya berdiri sebagai seorang peguam hampir 39 tahun, Timbalan Pendakwaraya selama enam tahun dan bertindak sebagai entiti kerajaan dan bukan kerajaan di mahkamah. Jika anda google, anda boleh lihat lebih 100 kes yang beliau kendalikan.

“Semalam, beliau (Muhammad Shafee) berada di Johor Bahru pada sebelah pagi dan pulang pada pukul 6.30 petang dan menemui beberapa orang… dan hari ini beliau terbang ke Pulau Pinang untuk mengendalikan kes-kes SOSMA,” katanya dan menambah bahawa anak guamnya adalah seorang lelaki yang dikenali sibuk di mahkamah.

Harvinder berkata, ini satu kes yang luar biasa kerana anak guamnya mempunyai 39 tahun pengalaman dalam bidang perundangan yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, ikat jamin berjumlah RM2.5 juta yang dicadangkan oleh pihak pendakwaraya adalah terlalu tinggi dan mencadangkan agar mahkamah memberi ikat jamin antara RM500,000 ke RM600,000.

Sri Ram menjawab bahawa kes itu berkepentingan awam dan untuk membebaskan tertuduh atas bon peribadi boleh dianggap sebagai menghina orang awam.

“Ia satu kesalahan yang serius. Tidak ada unsur politik di sini… dia (Muhammad Shafee) bukanlah seorang politik. Arahan saya agar beliau tidak diberi layanan istimewa,” kata Sri Ram.

Ahmad Akram turut berhujah bahawa pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi bagi menunjukkan tertuduh rasa dia perlu bertanggungjawab untuk hadir ke mahkamah.

— BERNAMA