Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 35 pegawai kerajaan yang mengadakan pasca mesyuarat Kabinet pada 22 Mei lalu disahkan bebas jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua mereka sudah dibenarkan untuk kembali meneruskan tugas masing-masing.

“Hari ini adalah hari ke 14 mereka dikuarantinkan, kita telah ambil ujian saringan dan didapati negatif (kali kedua) jadi mereka akan meneruskan tugas-tugas mereka di pejabat.

“Tidak seorang pun yang positif,” katanya dalam sidang media harian di KKM, hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan seorang pegawai kerajaan yang disahkan positif, Noor Hisham berkata pesakit berkenaan masih positif dan menunjukkan tanda-tanda sembuh.

“Pegawai yang positif Covid-19 itu menunjukkan tanda-tanda sembuh dan saringan terhadap beliau masih lagi positif,” tambah Noor Hisham lagi.

Pada 22 Mei lalu, seramai 35 pegawai kanan kerajaan kini menjalani kuarantin diri selama 14 hari, termasuk Muhyiddin Yassin.

Ia apabila Jabatan Audit Negara (JAN) mengesahkan satu memo memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid positif Covid-19. – MalaysiaGazette