Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada Majlis Pelancaran Program Rakan Masjid Hospital (RAMAH) di Auditorium Hospital Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mempunyai kaedah untuk mengurangkan tempoh menunggu pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) mengerjakan ibadah haji kali pertama.

Mujahid memberi jaminan itu sebagai salah satu proses pemulihan TH yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (TH) demi kepentingan dan kebajikan 9.3 juta pendeposit agensi itu.

“Kita sekarang baru memulihkan antara aset dengan liabiliti, itu keutamaannya dan sekarang kita sudah capai, dengan kata lain the worst is over, segala yang menyebabkan masalah besar (selesai) sebab dia melanggar akta.

“Langkah seterusnya ialah kita nak tengok keperluan lain seperti penstrukturan semula dari sudut pendeposit supaya nak jaga kebajikan mereka.

“Kita nak tengok tentang haji itu sendiri macam mana kita nak kurang kadar tunggu yang panjang sampai 100 tahun, boleh ada kaedahnya, benda-benda kita sedang meneliti Insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Rakan Masjid Hospital (Ramah) di Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menyerahkan kit RAMAH kepada wakil Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam, Mohd Khairul Zaki pada Majlis Pelancaran Program Rakan Masjid Hospital (RAMAH) di Auditorium Hospital Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2019

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said; Pengarah Institut Kanser Negara, Dr Asmayani Khalib dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Jumaat lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Mujahid ketika pengumuman hibah itu berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Media melaporkan Mujahid berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM500 juta pada 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

Susulan pelan pemulihan itu, Mujahid diberi jaminan oleh pihak pengurusan baharu TH bahawa laporan prestasi agensi yang menguruskan jemaah haji itu akan dibentangkan kepada kerajaan empat kali setahun.

“Kami telah diberi jaminan oleh pihak pengurusan baharu TH, setiap suku tahun dia akan bentangkan prestas kewangan supaya orang boleh tahu prestasinya setakat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette