Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kiri), Presiden Amanah, Mohamad Sabu (empat kanan), Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming (tiga kanan), calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (tengah) serta yang lain bergambar kenangan pada Ceramah Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Pekan Slim, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2020.

SLIM RIVER – “Terima kasih kepada Pakatan Harapan kerana banyak membantu calon bebas, Amir Khusyairi,”.

Itu kata-kata bakal Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengenai sokongan tidak berbelah bahagi Pakatan Harapan (PH) terhadap calon dokongan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Ujarnya, ucapan terima kasih itu atas kesudian PH yang menggerakkan jentera mereka bagi memenangkan calon bebas itu.

“Saya nak rakamkan setinggi-tinggi terima kasih secara peribadi dan mewakili seluruh parti, jentera parti termasuk juga Tun Dr Mahathir ucapan terima kasih kepada PH kerana banyak membantu kami.

“Tidak pernah berlaku, mana pernah calon bebas lambang pun tidak ada pakai logo pokok sahaja tapi bergerak macam jentera yang besar sebab PH membantu,” katanya dalam siri ceramah perdana PRK Slim Perak, sebentar tadi.

Turut hadir calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, dengan keberadaan jentera PH, maka pergerakan Amir Khusyairi berjalan lancar.

“Kita bergerak macam jentera yang padu dan Presiden UMNO sendiri kata calon bebas bukan calang-calang calon, jalan pun bukan macam calon bebas sebab ada jentera, perayu dan orang yang tolong kempen. Ini satu petanda baik kepada calon kita,” katanya lagi.

Peguam syarie dan peguam bela itu sebelum ini diumumkan sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim, pada 29 Ogos ini.

Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baharu menubuhkan parti dinamakan ‘Pejuang.’ – MalaysiaGazette