Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sikap pembangkang yang membantah keras Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini dengan alasan keadaan ekonomi tidak stabil amat meragukan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka mahu kerajaan campuran yang digambarkan gagal membantu rakyat dikekalkan sehingga kelembapan ekonomi seperti yang diramalkan benar-benar berlaku tahun depan.

“Adakah kita semua mahu berhadapan dengan keadaan dan situasi yang sama sekali lagi? Cukuplah, muslihat jahat itu harus dihalang dan kuasa kini di tangan rakyat untuk memastikan ancaman dalaman yang wujud diakhiri sebelum ramalan kemelesetan ekonomi global terjadi.

“Kita merancang, Allah sebaik-baik perancang. Kepada Allah kita berserah, agar negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya kembali aman dan sejahtera,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Ahmad Zahid menambah, kemelesetan ekonomi dunia seperti yang didedahkan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) merupakan antara faktor yang menyebabkan UMNO mendesak PRU-15 diadakan sekarang agar kerajaan yang kukuh dan stabil dapat dibentuk.

Menurut beliau, ekonomi global dilaporkan telah beralih daripada persekitaran inflasi dan kadar faedah rendah kepada dunia yang ‘lebih terdedah dan rapuh’.

Ahmad Zahid berkata, rakyat tidak boleh membiarkan Malaysia dalam keadaan kerajaannya terus dikelilingi ‘musuh dalam selimut’ yang berkepentingan politik semata-mata.

“Musuh dalam selimut yang sentiasa mencari ruang dan peluang mensabotaj kerajaan bagi meraih kesempatan politik tidak berkesudahan.

“Sehinggakan berlaku keadaan ‘tutup pintu depan, buka pintu belakang’ yang ketika itu menyebabkan penularan pandemik Covid-19 sukar dibendung yang mana kita semua dapat menyaksikan ramai ahli keluarga sanak saudara dan sahabat handai yang terkorban, malah turut hilang sumber pendapatan dan pekerjaan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, rakyat juga dapat menyaksikan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerang kerajaan sendiri sekaligus mengundang sentimen negatif terhadap pelabur asing untuk melabur di negara ini.

“Situasi itu andai berterusan tentu sukar kerajaan Malaysia bertindak sebagai sebuah pasukan untuk membentengi negara daripada impak kelembapan ekonomi.

“Meskipun pelbagai dasar dan rancangan diatur untuk mendepaninya, pelaksanaannya berisiko tinggi gagal, tersasar dan terjejas angkara percaturan politik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, rakyat yang akan menanggung akibatnya manakala yang licik merencana agenda politik mendapat manfaat besar daripada kemusnahan negara. – MalaysiaGazette