Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019- 2023 yang dilancarkan hari ini merupakan satu detik bersejarah kerana pelan ini merupakan penterjemahan aspirasi rakyat Malaysia yang mengimpikan sebuah negara yang bersih, telus dan bebas daripada rasuah.

Berdasarkan laporan Global Financial Integrity (GFI), dalam tempoh 2005- 2014 Malaysia mencatatkan kira-kira RM 1.8 trilion pengaliran keluar wang secara haram yang ditinggalkan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, NACP adalah bukti komitmen kerajaan pimpinan Pakatan Harapan untuk memastikan tiada lagi ketirisan wang berlaku di mana penjimatan daripada penyelewengan boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersedia memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang telah digariskan.

Katanya, NACP memperlihatkan bukti kesungguhan Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan membentuk eko-sistem yang akan memerangi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa untuk generasi akan datang.

NACP yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah menggariskan 6 strategi dan 115 inisiatif yang merangkumi tadbir urus yang baik, integriti dan anti-rasuah.

SPRM bertindak sebagai badan peneraju bagi pelaksanaan NACP manakala Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) pula akan memantau dan menilai keberhasilan dan pencapaian pelan tersebut. – MalaysiaGazette