Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Semua pihak berkuasa di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang menyiasat nahas jalan raya yang membabitkan tiga kereta dan sebuah treler lewat malam semalam.

Nahas itu berlaku di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ.

Siasatan secara terperinci itu untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan kemalangan berlaku, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku selepas sebuah lori treler merempuh tiga buah kereta yang berhenti di lorong kecemasan sehingga meragut nyawa seorang ibu dan lapan orang anaknya.

Laporan daripada penyiasatan itu, termasuk laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ, akan diserahkan secepat mungkin kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Sekiranya syarikat yang terlibat dalam kemalangan itu didapati telah melanggar keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) mereka, APAD akan mengeluarkan perintah untuk menggantung atau membatalkan lesen pengendali syarikat berkenaan.

Ka Siong berkata, MOT tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi ICOP dengan alasan munasabah dan telah melanggar syarat lesen pengendali.

Pelanggaran syarat ini mampu mewujudkan risiko keselamatan kepada pemandu lain, pejalan kaki dan orang awam secara amnya. – MalaysiaGazette

10 maut dalam nahas babit tiga kereta, sebuah treler