Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah menyuruh Datuk Mahfuz Omar keluar daripada parti.

Sambil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena itu kerana lantang mengkritik pendirian parti sendiri.

Mohamad Amar Nik Abdullah
Mohamad Amar Nik Abdullah

Mohamad Amar berkata, Mahfuz lebih baik tidak lagi bersama Pas daripada berterusan mengkritik tanpa hala tuju kerana ia lebih memberi kesan buruk kepada parti.

“Saya cadangkan dia (Mahfuz) keluar sahaja daripada parti, jangan jadi macam sekarang iaitu duduk dalam Pas, namun pada masa sama serang dan kritik Pas secara berterusan tanpa arah tuju.

“Saya nak persoalkan kedudukan Mahfuz, buat apa lagi dia (Mahfuz) duduk lama-lama dalam Pas sekiranya beliau tidak mampu menerima perjuangan yang dibawa oleh Pas.

“Malah, sebarang kenyataan yang dikeluarkan Mahfuz sejak kebelakangan ini tidak diambil kira oleh parti kerana bagi kami tidak relevan langsung. Sekiranya tidak berpuas hati, sila keluar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Terdahulu, Mahfuz mengkritik parti berhubung isu kerjasama politik dengan menggesa Pas membuat pertimbangan untuk menarik diri dari Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui PKR.

Katanya, ia berikutan pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan PAN secara jelas memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR.

Selain itu, Mohamad Amar turut membalas kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menganggap bekas perdana menteri itu tidak layak untuk menasihati hala tuju politik mereka.

Sebelum itu, Mahathir mendakwa ‘tak kan sampai kena cium kaki Hadi’ untuk memujuk Pas bersama pakatan pembangkang.

“Untuk pengetahuan Tun, Pas sudah lama bersendirian dan sekiranya Tun merasakan kita sebuah parti tidak efektif, tidak perlulah menyuruh kita menyertai pakatan pembangkang.

“Kita bawa jalan masing-masing dan ini jalan yang kita pilih. Itulah sikap Tun yang sebenar, dia merasakan hanya dia individu yang pandai dan pada masa sama mahu orang lain mengikut rentaknya,” katanya. – MalaysiaGazette