Profesor Datuk Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain

KUANTAN – Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) mengumumkan pelantikan Profesor Datuk Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain sebagai Naib Canselor baharunya, hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd (KESB), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dalam majlis yang diadakan di Kampus Utama UCYP di Tanjung Lumpur, di sini.

Pelantikan bekas pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dibuat bagi menggantikan Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin yang tamat perkhidmatan sebagai Naib Canselor UCYP pada 30 Ogos lalu.

Muhammad Fauzi berkata, beliau mahu menonjolkan kemampuan UCYP menerusi platform media sosial dan meningkatkan keterlibatan institusi itu dengan generasi muda agar dapat menarik lebih ramai golongan tersebut menyertai UCYP.

“Saya nampak bahawa kemampuan UCYP ini mampu bergerak selari dengan universiti lain, cuma mungkin perlu mantapkan beberapa program.

“Selain itu, kita akan usahakan agar lebih menonjol kepada masyarakat bukan sahaja di Pahang, bahkan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau bermula sebagai seorang tenaga pengajar di Jabatan Kejuruteraan Awam di Fakulti Kejuruteraan UKM pada 1993, dan dilantik sebagai Pensyarah pada 1998.

Muhammad Fauzi pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Seni Bina UKM dan Pengarah Pusat Penyelidikan UKM sebelum dipinjamkan ke Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selama dua tahun sehingga 2021. – MalaysiaGazette