Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menawarkan diri sebagai calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dalam Pemilihan UMNO 2023 kali ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu juga akan bertanding merebut jawatan ketua bahagian tersebut.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab sebagai ahli parti untuk membantu UMNO Pusat dan UMNO Bahagian di saat parti memerlukan.

“Dengan lafaz ‘Bismillah ir-Rahman ir-Rahim’ maka saya, Dr. Najmil Faiz bin Mohamed Aris dengan ini menawarkan diri sebagai calon Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dalam Pemilihan UMNO 2023 kali ini.

“Saya menawarkan diri kerana saya sayangkan UMNO. Tidak ternilai jasa UMNO pada negara ini dan kini UMNO memerlukan nafas baru dalam usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Insya-Allah dengan sokongan sahabat sekalian kita bersama-sama membantu mengukuhkan UMNO dan membawa kembali kegemilangan UMNO,” katanya di hantaran Facebook miliknya hari ini.

Najmil Faiz menambah, ahli adalah penyambung perjuangan nenek moyangnya dan tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan parti.

Tegas beliau, UMNO adalah maruah orang Melayu.

“Biar pun pelbagai ujian mendatang, semangat perjuangan kita takkan pudar. Membujur lalu melintang patah. Patah paruh bertongkat dagu namun daki tetap didaki.

Najmil Faiz memberitahu, beliau amat memahami apa yang diperlukan UMNO untuk kembali bangkit.

Jelasnya, beliau juga telah melalui sejarah zaman kekalahan UMNO pada PRU 14 pada tahun 2018.

“Ketika itu ramai pemimpin UMNO dan ahli parti berpaling tadah dan meninggalkan parti keramat UMNO kerana tidak sanggup mengambil tanggungjawab ketika UMNO berada dalam keadaan paling lemah ketika itu.

“Kekalahan UMNO bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat pusat. Waktu itu dengan rasa bertanggungjawab dan sayang pada UMNO saya telah memikul tanggungjawab sebagai TKUB dan Exco PPUM di peringkat pusat.

“Pahit jerih pengalaman mengerakkan UMNO dikala UMNO tidak mempunyai apa-apa kuasa cukup mematangkan saya dalam mengurus dan membantu UMNO di peringkat bahagian dan pusat.

“Dengan kudrat dan pengalaman sebelum ini sebagai Ketua Pemuda Bahagian dan juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri banyak mengajar saya perjuangan dalam mengurus UMNO dan memahami denyut nadi orang muda dan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette