Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dilepas tanpa dibebaskan atas 16 pertuduhan pecah amanah berhubung gaji yang diterimanya sewaktu memegang jawatan pengerusi Yayasan Nassar.

Keputusan itu dibuat  oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Sept lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Mohd Salleh ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu dan  berkata bagaimanapun ahli politik berkenaan masih lagi berdepan 14 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM3.65 juta.

“Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh pada 22 Sept memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh selepas dimaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dihantar Nasharudin  pada 7 Julai lalu.

“Mahkamah kemudian menetapkan 20 Nov depan bagi pengurusan kes untuk 14 lagi baki pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya,” katanya.

Pada 22 Okt 2019, Nasharudin didakwa atas 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah  RM3,677,669.80.

Ia bagi pembayaran gajinya sebagai Pengerusi Yayasan Nassar selama 16 bulan; pembelian hartanah di Bandar Puteri Bangi; kos katering perkahwinan, pinjaman dan yuran pengajian anaknya; akaun peribadi dan pembelian saham dan geran penyelidikan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 2015 dan  2018, dan kesemua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank, Jalan Sinar Pagi, Country Heights, Hulu Langat serta di Maybank cawangan Menara Felda di KLCC.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA