Presiden NUJ Malaysia dan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak.

KUALA LUMPUR – Rata-rata bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad hari ini mahu kepastian namun semuanya masih samar-samar.

Malah ramai dalam kalangan mereka menganggap pertemuan dengan wakil pelikuidasi hari ini sia-sia sahaja.

Sebahagian pekerja Utusan menghadiri sesi townhall bersama wakil pelidikuasi di Ibupejabat Utusan Kuala Lumpur hari ini.

Ini kerana tidak ada jaminan apa-apa diberi malah sebarang keputusan ditunda lagi pada pertemuan lain pada 6 November ini pula sama ada memilih pelikuidasi baharu atau khidmat mereka dikekalkan.

Bagi Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu, Mohd. Taufek Razak, pertemuan sesi townhall hari ini tidak ada sebarang kata putus mengenai nasib kakitangan syarikat akhbar yang ditutup kerana kerugian baru-baru ini.

“Kami mengharapkan ada pengumuman mengenai nasib kami. Ramai mengharapkan diambil bekerja semula,” katanya dipetik dari Harian Metro hari ini.

Menurutnya, pihak pelikudasi, UHY Advidory Sdn. Bhd. hanya beroperasi sementara dan tidak boleh memberi kata putus.

Mereka lebih kepada memberi penerangan pelikudasi mengenai akta syarikat bukan nasib para pekerja Utusan.

Menurut Taufek, pertemuan hari ini juga menimbulkan tanda tanya kerana mereka memberi gambaran jumlah hutang lebih tinggi daripada aset.

Jadi kemungkinan tidak ada pampasan kepada pekerja, katanya.

Mohd. Taufek berkata, kakitangan dimaklumkan hutang syarikat RM400 juta manakala aset bernilai RM350 juta.

“Kalau ini benar, maknanya tak ada pampasan. Tak ada janji bila nak bayar. Masih lagi di awang-awangan,” katanya.

Kira-kira 1,500 kakitangan termasuk yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela sebelum ini hadir pada sesi itu yang berlangsung tiga jam.

Menurut Mohd. Taufek, pihaknya juga akan melantik peguam untuk menjadi wakil NUJ bagi memantau proses pencairan aset berkenaan.- MalaysiaGazette