Saya menghabiskan masa selama 29 tahun di sini dan inilah satu-satunya pekerjaan saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB. - Nazir Razak
Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Zak Capital Sdn. Bhd yang dimiliki Datuk Seri Nazir Razak bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menawarkan Program Bantuan Pembiayaan Pinjaman-Mikro Tanpa Faedah.

Nazir berkata, program itu adalah bantuan untuk pandemik Covid-19.

“Sesiapa yang memerlukan sokongan boleh mendapatkan bantuan,” katanya menerusi akaun Instagram.

Menerusi akaun Facebook Urus Dana ABIM, ia memaklumkan had pinjaman adalah antara RM500 hingga RM5,000 dengan tempoh bayaran balik selama enam minggu (minimum) sehingga 18 bulan (maksimum).

Kelayakan permohonan adalah:
a) Warganegara Malaysia berumur 21 hingga 60 tahun;
b) Pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan/ atau pendapatan purata bulanan yang bernisbah dengan saiz isi rumah;
c) Mempunyai pengalaman memiliki atau menguruskan perniagaan kecil, terutamanya perniagaan yang telah merosot akibat penularan pandemik Covid-19.

Pemohon dikehendaki mengisi borang permohonan (dalam-talian) dan permohonan yang disenarai pendek akan dihubungi.

Bantuan akan disalurkan dalam tempoh masa terdekat selepas status kelulusan berjaya dimaklumkan.

Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan Encik Kamarul Azami di talian 019-2770412 atau emel [email protected]

Nazir turut mengalu-alukan mana-mana individu, syarikat atau badan bukan kerajaan yang mahu menyertai program itu supaya menghubungi beliau.

Selain itu, kerjasama ini yang disertai oleh Adab Youth Garage (AYG) turut menyalurkan Kempen Seorang Sekampit Beras iaitu bantuan bahan makanan dan kerperluan asas kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19. MalaysiaGazette