Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Neelofa dan ahli keluarganya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, untuk diambil keterangan berhubung dakwaan melanggar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada majlis pernikahannya esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah meminta pengurus hotel, selaku penganjur majlis pernikahan itu, tampil ke balai untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Kini kami sudah susun semula jadual dan akan meminta pengantin berkenaan Neelofa dan juga ahli keluarganya datang ke IPD untuk diambil keterangan.

“Ahli keluarga pengantin perempuan termasuk Neelofa sendiri akan tampil untuk memberi keterangan kepada polis antara jam 2 hingga 4 petang esok (Selasa),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur majlis pernikahan Neelofa dengan pelakon yang juga pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Terdahulu Mohamad Zainal berkata, beberapa saksi telah dipanggil untuk ke balai hari ini untuk membantu siasatan.

Tambahnya, pihaknya telah mengambil keterangan awal semalam daripada pegawai keselamatan hotel tersebut.

“Hari ini (Isnin) pula, kita akan ambil lagi keterangan daripada beberapa orang saksi, kita bukan tak boleh keluarkan kompaun serta-merta, tetapi majlis itu sudah berlalu sebelum gambar itu diviralkan dalam media sosial dan dikecam warga netizen sejak Sabtu lalu.

“Kita akan panggil semua yang terlibat untuk datang ke balai bagi memberi kerjasama supaya polis dapat melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada pendakwa raya untuk arahan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Pernikahan Neelofa: Pengurus hotel, saksi akan dirakam keterangan