Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas hadir pada sidang media selepas melawat Kaunter Setempat LHDN sempena Hari Bertemu Pelanggan LHDNM di Kaunter Setempat Tingkat 1, Blok 8A, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur . foto NOOREEZA HASHIM, 08 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai pelan kontingensi ekonomi jika perang perdagangan global bertambah buruk, dengan pelan yang sama boleh diguna pakai jika konflik AS-Iran semakin meningkat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, konflik geopolitik itu merupakan antara agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat Kabinet awal hari ini, dengan kebimbangan lebih terumpu kepada kestabilan dan sama ada ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.

Beliau berkata, disebabkan konflik itu, cabaran terbesar yang dihadapi Malaysia adalah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan (kesan konflik ini) dan buat masa ini, kerajaan sudah pasti dapat mengurus (subsidi petrol jika harga terus meningkat).

“Kami berharap kedua-dua negara dapat berbincang dan tidak berperang,” katanya pada sidang akhbar selepas Hari Bertemu Pelanggan Lembaga Hasil Dalam Negeri hari ini.

Harga minyak melonjak malam tadi, dengan minyak mentah brent meningkat 1.6 peratus kepada hampir US$69 setong, berikutan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat-Iran susulan serangan peluru berpadu di pangkalan udara AS di Iraq selepas pembunuhan Jeneral Iran Qasem Soleimani akibat serangan udara AS di Baghdad minggu lepas.

Setiap kenaikan harga minyak sebanyak US$1, Petronas akan memperoleh manfaat sebanyak RM300 juta, tetapi ia akan menyebabkan kerajaan perlu memberi subsidi petrol yang lebih tinggi.

“Kami perlu membayar subsidi petrol yang lebih tinggi. Setakat ini ia boleh diurus,” kata Lim. – MalaysiaGazette