KUALA LUMPUR – Sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menfitnah Pusat Fidlot Nasional (NFCorp) yang ditaja kartel daging import haram menyumbangkan kepada masalah sekuriti makanan di negara ini, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Noor, Malaysia mengalami ‘kerugian’ apabila projek NFC yang menyokong Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara terpaksa dihentikan apabila difitnah secara tersusun sehinggakan rakyat terbeban dengan harga makanan yang tinggi.

“Saya berani untuk katakan bahawa pihak kartel daging import haram antara pihak yang mahu menjahanamkan NFC sehingga timbul isu keraguan untuk membeli daging import yang menyebabkan jualan pasar merosot 50 peratus selain harga semakin mahal.

“Tetapi, nasi sudah jadi bubur, harap kerajaan dapat berbuat sesuatu untuk memulihkan sekuriti dan keterjaminan makanan terutama daging lembu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail menzahirkan rasa syukur setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan beliau dan tiga anaknya daripada semua pertuduhan berhubung projek Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan.

Hakim Anand Ponnudurai dalam penghakiman berkata, tiada berlaku sebarang salah guna atau pecah amanah dalam mana-mana urusniaga yang dijalankan oleh NFCorp.

Bagaimanapun, hakim memutuskan NFCorp perlu mengembalikan sejumlah pinjaman yang tidak digunakan sebanyak RM33 juta kepada Kerajaan. – MalaysiaGazette