Pegawai Tugas-Tugas Khas, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Shafik Abdullah (kiri) bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai bukti kelahiran Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di luar pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Petaling Jaya, hari ini.
PETALING JAYA – NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa pihaknya mempunyai bukti dan telah melihat sendiri surat beranak kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang didaftar di China.
Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Shafik Abdullah berkata, dia melihat sendiri nama pemimpin veteran DAP itu telah didaftarkan dalam buku ‘Daftar Rumahtangga China’.
“Buku adalah pendaftaran turun-temurun semua anak kelahiran di China akan didaftarkan dalam buku tersebut. Apabila petani yang lahirkan anak di China, bila didaftarkan dalam buku tersebut, kerajaan China akan memberikan satu petak tanah.
“Itu kebaikan kerajaan China, lahir saja anak dapat satu plot tanah, itu bagi golongan petani, bukan penduduk bandar. Daripada data di dalam buku berkenaan, saya sudah lihat tapi tak dapat ambil gambar dan ambil bukti kerana melibatkan maklumat peribadi dan sulit,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.
NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menunjukkan laporan polis dan bukti Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dilahirkan di China di luar pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis, hari ini.
Rabu lalu, Presiden PMSP, Ramesh Rao mendesak supaya Penasihat DAP itu agar berterus-terang mengenai asal-usulnya sama ada dilahirkan atau berhijrah ke Malaysia.
Katanya, Kit Siang perlu mengemukakan bukti kukuh jika mengakui dirinya lahir di Malaysia seperti memberikan nama hospital dan di hospital mana menjadi tempat kelahirannya.
Bagaimanapun keesokan harinya, Kit Siang melahirkan rasa berang apabila ditanya wartawan mengenai desakan pemimpin NGO itu yang mahu beliau menyatakan bukti tempat kelahirannya.
Malah, semasa satu sidang media di bilik media Parlimen, beliau menyuruh wartawan agar membuat penyelidikan sebelum meneruskan soalan berkaitan.
Sementara itu, Ramesh pada sidang media sama mengesahkan wakilnya pergi ke China pada 12 Julai lalu untuk mendapatkan bukti kelahiran pemimpin veteran DAP itu termasuk berjaya mengesan ahli keluarganya masih berada di negara tanah besar itu.
“Encik Shafik sudah pergi ke China dan melihat sendiri sijil kelahiran Lim Kit Siang. Ibu dan adik beradiknya masih di China, tidak pernah menjejakkan kaki di bumi Malaysia, mana mungkin Lim Kit Siang lahir di Malaysia.
“Dokumen kelahiran Lim Kit Siang telah dilihat dan Encik Shafik sudah meminta pihak polis untuk meminta dokumen-dokumen yang sah,” ulasnya.
Terdahulu, pihaknya telah membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya meminta pihak berkuasa itu memanggil Kit Siang untuk mendapatkan pengesahan secara bertulis tentang tempat kelahiran beliau.
“Sekiranya pengesahan tersebut bercanggah dengan kebenaran tertentu, maka penyiasatan akan bermula,” katanya Shafik lagi. – MalaysiaGazette.