Nurini Kassim (kanan) bergambar bersama Gobind Singh Deo dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melantik bekas Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurini Kassim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), agensi berita nasional, Bernama.

Menurut menterinya, Gobind Singh Deo, Nurini akan memegang jawatan itu selama dua tahun berkuatkasa pada 1 Januari 2019.

“Nurini mempunyai pengalaman luas selama 20 tahun dalam bidang pengurusan dan pelbagai industri termasuk institusi kerajaan, kewangan, pengawalseliaan, teknolagi maklumat serta perhubungan awam dan hal-ehwal korporat.

“Saya percaya pimpinan baharu Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pengelola, Majlis Penyeliaan dan pasukan editorial yang diketuai oleh Datuk Zakaria Abd Wahab akan membawa Bernama ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurini mengambil alih jawatan itu daripada Zulkefli Salleh yang bersara pada 3 Oktober lalu.

Ketua Pengarang Bernama, Zakaria Abd Wahab memangku jawatan tersebut buat sementara waktu.

Sebelum ini timbul desas desus bahawa bekas Ketua Pengarang akhbar Roket, Wan Hamidi Hamid akan mengambil jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette