Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, akan membuat aduan rasmi kepada FIFA ekoran kekacauan peminat bola sepak Indonesia.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut bersama penyokong Harimaj Malaya di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta itu melihat sendiri kekecohan yang berlaku.

“Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali. Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika.

“Saya dimaklumkan FAM bahawa mereka akan membuat aduan rasmi kepada FIFA. Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana,” katanya dalam Instagramnya malam ini.

Pada perlawanan kelayakan Piala Dunia itu Malaysia menang 3-2 ke atas Indonesia.

Menurut Syed Saddiq, gangsterisme tidak akan ditolak ansur dalam apa jua cara.

“Keselamatan pemain dan penyokong Malaysia adalah keutamaan saya.

“Ketika ini saya masih lagi bersama-sama dengan penyokong Malaysia ditempatkan di dalam stadium sementara menanti keadaan di luar reda sebelum kami boleh pulang,” ujarnya.

Menurutnya, kejadian itu amat menyedihkan buat industri sukan bola sepak yang sepatutnya menjadi medium penyatuan.

“Saya berjanji akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ngauman Harimau Malaya tewaskan Garuda