Pfizer -BioNTech Covid-19 vaccine Comirnaty booster shot dose
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan menggalakkan pemberian vaksin secara bercampur untuk meningkatkan perlindungan, tetapi masih dibenarkan jika orang ramai yang menerima dua dos Sinovac mahu mengambil vaksin sama sebagai dos penggalak.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, orang ramai boleh memilih dan memberitahu petugas di pusat pemberian vaksin jika mereka bertegas mahu menerima Sinovac.

“Jika tiada vaksin itu, kami juga boleh mengaturkan temu janji,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, orang ramai yang mahu menerima Sinovay juga perlu sedar bahawa hanya vaksin di bawah Program Imuniti COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah percuma.

Jelasnya, ujian klinikal menunjukkan dua dos vaksin Sinovac bercampur dos penggalak Pfizer boleh meningkatkan tahap perlindungan kepada 95 peratus manakala campuran dengan AstraZeneca adalah 94 peratus.

Ujarnya, jika ketiga-tiga dos yang diambil adalah Sinovac, maka tahap perlindungan hanyalah meningkat kepada 74 peratus.

“Oleh itu, kerajaan menggalakkan suntikan vaksin bercampur, tetapi boleh diaturkan jika penerima vaksin Sinovac mahukan vaksin sama sebagai dos penggalak,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa akan menyediakan tarikh temu janji baharu walaupun seseorang menolak dos penggalak atas pelbagai sebab.

Beliau juga meminta orang ramai menyemak aplikasi MySejahtera secara kerap supaya tidak terlepas temujanji untuk pemberian dos penggalak.

“Semua yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima temu janji untuk dos penggalak bagi merealisasikan sasaran imunisasi kelompok,” katanya. – MalaysiaGazette