Rihana Oksana Gorbatenko bersama bayinya. foto IG RihanaPetra

KUALA LUMPUR – Bekas ratu cantik Rusia, Rihana Oksana Voevodina meluahkan momen indah pertemuan pertamanya dengan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dalam Instagram peribadinya.

Wanita berusia 27 tahun itu yang telah diceraikan talak tiga oleh Sultan Kelantan di Singapura Julai lalu sehingga menjadi topik perbualan masyarakat umum antarabangsa berkongsi kisah dan detik pertemuan mereka melalui beberapa keping gambar dalam media sosial pada 4 September lalu.

Dalam foto berkenaan pasangan itu kelihatan menikmati makan malam sambil Sultan Muhammad V memberi posing tanda peace di atas kepala Rihana.

Rihana Oksana memuatnaik beberapa keping gambar dirinya bersama bekas suaminya Sultan Muhammad V Kelantan sambil menceritakan kisah pertamuan pertama dengan mengakhirinya perkataan akan sambung lagi semalam.

Dalam status Instagram Rihana berkongsi kisah pertemuannya dengan baginda memulakannya dengan kisah mereka berkenalan.

“Sejak pertama kali saya melihat suami saya, saya tak tahu kenapa (sebabnya) tapi dalam fikiran saya, saya yakin dia adalah bapa kepada anak-anak saya di masa depan. Tapi ketika itu, saya cepat-cepat buang perasaan itu sebab fikirkan masih terlalu awal.

“Sebelum suami (baginda) saya pulang ke Malaysia, saya ada bertanya sama ada dia (baginda) telah berkahwin atau mempunyai anak sebelum dia (Sultan Muhammad) memberitahu bahawa telah bercerai pada tahun 2015 kerana bekas isterinya dari Czech Republic telah berbohong bahawa wanita itu tidak mempuntai ikatan perkahwinan dan mengikut dokumen yang ada, wanita itu tidak bercerai di negaranya pada waktu itu.

“Suami saya berkongsi kisah sebenar bahawa wanita itu selalu menggunakannya bagi mendapatkan wang dan bukannya berusaha mendapatkan zuriat dan suami saya (baginda) memaklumkan kepada saya, beliau tidak pernah mempunyai anak dan itulah impian terbesar dalam hidupnya,” katanya dalam teks yang dikongsi di Instagram peribadinya itu.

Tanpa terhenti di situ, Rihana menyambung kononnya apabila dia dengan baginda tiba di Malaysia, suaminya (Sultan Muhammad V) berdiri di hadapannya dengan pakaian yang dia tidak pernah melihatnya iaitu tradisional Melayu.

Menurut Rihana, dia sempat bertanya kepada baginda  kenapa pakaiannya kelihatan pelik sebelum baginda tiba-tiba membentangkan sejadah untuk solat dan sesudah itu berdoa.

“Itu kali pertama saya lihat orang Islam solat dan selepas suami saya (Sultan Muhammad) selesai bersolat, baginda menjelaskan bahawa satu hari nanti baginda akan mengajar saya segala-galanya mengenai Islam,” katanya.

Rihana  turut berkongsi sebanyak 24 keping gambar dari pertemuan pertama sehingga ke majlis perkahwinan dan foto bersama anaknya sehingga diceraikan.

Kisah yang dikongsi selepas berdiam hampir sebulan itu telah disiarkan akhbar berbahasa Inggeris Singapura semalam.

Pada 25 Julai lalu, Rihana mencabar bekas Yang DiPertuan Agong itu untuk menjalani ujian DNA, menurut Daily Mail.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pihak Sultan Kelantan sebelum ini yang menafikan baginda adalah bapa biologi kepada bayi yang baru dilahirkan model itu.

Rihana, 26, memeluk Islam dan berkahwin dengan Sultan Kelantan pada tahun lalu sebelum Sultan Muhammad melepaskan kedudukan Yang Dipertuan Agong pada Januari lalu.

Baru baru ini, Sultan Muhammad mendedahkan baginda telah bercerai talak tiga dengan Rihana selepas meragui status kelahiran anak itu.

Peguamnya, Koh Tien Hua mengesahkan punca penceraian baginda kerana tiada bukti kukuh menunjukkan baginda bapa biologi kepada anak yang lahir pada Mei lalu sebelum mereka bercerai.

Sebelum ini pada 20 Julai lalu, Koh Tien Hua peguam dari firma Tetuan Eversheds Harry Elias LLP menerusi kenyataan memberitahu bahawa Sultan Kelantan yang berusia 49 tahun itu telah bercerai talak tiga dengan Rihana pada 22 Jun lalu.

Katanya, lafaz cerai itu dilakukan di hadapan saksi beragama Islam mengikut undang-undang Syariah yang ditetapkan tanpa mendedahkan tempat penceraian itu berlangsung.

Namun ketika proses penceraian itu, Rihana tidak berada di sisi suaminya.

Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan sijil perakuan penceraian bertarikh 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

Menurut Tien Huam, Rihana telah dimaklumkan mengenai penceraian menerusi peguamnya di Rusia.

Pasangan tersebut berkahwin dalam satu majlis tertutup di Rusia pada November 2018 dan telah menimang cahaya mata dinamakan Tengku Ismail Leon Petra pada 21 Mei lalu.- MalaysiaGazette