Ong Kim Swee.

PETALING JAYA – Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berkuatkuasa 1 Januari lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter de Roo.

Menurut kenyataan FAM, bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Teknikal FAM merangkap Ketua Unit Belia FAM.

Kim Swee memulakan karier kejurulatihannya dengan menjadi Ketua Jurulatih Melaka.

Beliau berjaya mencungkil bakat-bakat muda negara bermula sebagai Jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan seterusnya menjadi peneraju utama skuad Harimau Muda.

Kemuncaknya, Kim Swee berjaya membawa skuad B-23 kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia disusuli pingat perak temasya yang sama pada 2017 di laman sendiri.

Beliau turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Kim Swee pernah mengandali untuk sementara waktu skuad kebangsaan sebanyak dua kali iaitu dari 3 Februari 2014 hingga 28 Jun 2014 selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan tamat.

Beliau diamanahkan dengan tanggungjawab yang sama pada  5 September 2015 hingga 18 Januari 2016 selepas Dollah Salleh meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan.

Kim Swee kemudian dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan dari 18 Januari 2016 hingga 25 Mac 2017 dan beliau diamanahkan untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Dengan pengalaman luas beliau sebagai pemain dan jurulatih di pelbagai peringkat, Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilihat sebagai calon terbaik bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal FAM. -MalaysiaGazette